Menteri dalam negeri Libya digantung tugas


Menteri Dalam Negeri Libya Fathi Bashagha digantung tugas susulan kumpulan militan melepaskan tembakan ke arah peserta bantahan aman minggu lepas. – Gambar AFP, 29 Ogos, 2020.

MENTERI dalam negeri Libya digantung tugas, susulan kumpulan militan melepaskan tembakan ke arah peserta bantahan aman minggu lepas, kata Kerajaan Permuafakatan Kebangsaan Libya (GNA) semalam.

“Menteri Dalam Negeri Fathi Bashagha digantung tugas untuk sementara waktu.

“Beliau akan disoal mengenai tunjuk perasaan dan kejadian di Tripoli dan bandar lain,” menurut GNA dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menambah, Bashagha akan disoal siasat mengenai kelulusan yang diberi kepada peserta bantahan, tahap keselamatan dan insiden tembakan.

Tunjuk perasaan aman yang bermula sejak Ahad lalu di Tripoli itu diadakan bagi membantah perkhidmatan awam dan taraf ihidup yang teruk. Kejadian tembakan pertama berlaku pada Ahad, dan berulang pada Isnin dan Rabu.

Penembak turut menculik penunjuk perasaan pada Rabu, kata GNA.

Menurut Human Rights Watch sekurang-kurangnya enam orang diculik kumpulan militan di Tripoli, manakala ramai yang cedera.

Bashagha dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Kementerian Dalam Negeri hari ini berkata beliau sudah bersedia untuk disoal siasat.

Namun beliau menggesa ia disiarkan secara langsung supaya proses itu telus.

Keganasa berlaku di Libya sejak sedekad lalu selepas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pada 2011 menyokong usaha menggulingkan Muammar Gaddafi.

Tentera di negara itu tersepit antara pihak yang menyokong GNA dan mereka  yang menyokong pembangkang pimpinan Khalifa Haftar. – AFP, 29 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen