Bekas pemimpin Bersatu dedah kemelut dalam parti


BEKAS bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman dalam satu temu bual mendakwa “kartel” dalam parti itu menjadikannya “tidak ubah seperti tandas awam atau rumah pelacuran, di mana sesiapa sahaja boleh datang dan pergi dengan mudah”.

Beliau mendakwa beberapa individu yang meninggalkan Bersatu untuk menyertai parti lain mungkin kembali dan terlibat semula dengan parti itu.

Dalam temu bual dengan portal Malaysiakini, beliau berkata mengesyaki kemasukan semula ahli ini boleh dikaitkan dengan pemilihan parti akan datang dan percubaan kartel untuk mengembangkan pengaruh mereka.

Bersatu akan mengadakan pemilihan parti tidak lama lagi selepas pilihan raya negeri berakhir.

Faiz, yang keluar parti pada Isnin kerana tidak puas hati turut menyuarakan keluhannya dengan biro politik parti didakwa membuat keputusan tanpa kelulusan atau pemberitahuan terlebih dahulu kepada majlis tertinggi.

Tindakan itu, katanya memberi masalah kepada ahli majlis seperti beliau.

“Sebagai ahli majlis tertinggi, saya bertanggungjawab menjaga nama baik Bersatu, sama ada kepada media atau ahli akar umbi.

“Tetapi apabila keputusan dibuat tanpa merujuk kepada Majlis Tertinggi, itulah sebab kekeliruan timbul kadangkala,” katanya dipetik sebagai berkata dalam temu bual itu.

Pemimpin perintis Bersatu itu, dilaporkan antara 100 ahli dan pemuda pertama yang menyertai Bersatu pada 2016, menjenamakan biro politik itu sebagai kumpulan yang “lebih elit daripada elit parti”. – 10 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen