Faiz Na'aman letak jawatan, keluar Bersatu 


AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman hari ini mengumumkan letak jawatan sekaligus berhenti sebagai ahli parti berkuat kuasa serta merta dengan alasan hilang kepercayaan kepada parti dan pimpinannya.

Keputusan itu disampaikan kepada presiden parti Muhyiddin Yassin melalui sepucuk surat hari ini, katanya.

“Saya agak kecewa parti Bersatu kurang menekankan mengenai roh asas ideologi perjuangan di kalangan pemimpin dan akar umbi parti, hingga ada pihak-pihak yang baru menyertai parti Bersatu cuba membawa mentaliti serta budaya lama dari wadah mereka yang terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan Faiz dipercayai ada kaitan langsung dengan isu pemilihan calon Bersatu bagi enam pilihan raya negeri terutama Selangor.

Minggu lalu, Faiz mendakwa Perikatan Nasional mengemukakan barisan calon yang tidak ada kredibiliti sehingga menjejaskan peluang untuk mengambil alih kerajaan di Selangor.

Beliau menyifatkan barisan cakon PN di Selangor sebagai “memalukan” dan “barisan untuk kalah”.

Dalam kenyataannya hari ini, Faiz mendakwa sehingga sembilan bahagian Bersatu di Selangor “memberontak” membantah pencalonan yang dipertikaikan.

Antara yang beliau pertikaikan ialah pencalonan mereka yang mengkhianati parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu tetapi gagal dikenakan tindakan oleh parti.

Dalam satu komentar lain di Facebook, Faiz menafikan keputusannya hari ini kerana tidak dicalonkan bertanding pada pilihan raya negeri.

Pada PRU15, Faiz mewakili PN mencabar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk. – Bernama, 7 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen