Tiada hasrat untuk haram Umno, kata pemimpin Bersatu


Mohd Farhan Darwis

Umno didakwa mempunyai akaun rahsia dan tidak diaudit, yang menerima sumbangan sejak 1988. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2021.

GESAAN supaya akaun bank Umno disiasat bukan bertujuan untuk menekan agar parti itu diharamkan, kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, beliau hanya mahu perkara itu disiasat pihak berkuasa termasuk oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk membuktikan kebenaran.

“Saya tidak bermaksud agar Umno diharamkan, saya cuma minta disiasat benda ini sama ada benar-benar berlaku atau tidak.

“Kalau berlaku dalam parti saya pun saya akan minta disiasat juga, mana-mana parti yang libatkan perlanggaran (undang-undang) seperti ini saya akan minta disiasat juga,” katanya.

Beliau menjelaskan gesaannya berkaitan akaun Umno yang didakwa bagi menerima sumbangan sejak 1988 dan akaun itu didakwa bukan akaun rasmi dan tidak disahkan serta tidak diaudit.

Gesaaan itu menerima teguran bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa yang meminta pemimpin parti lain tidak membuat kenyataan mengenai dakwaan berkenaan.

Annuar juga menafikan mengetahui mengenai kewujudan akaun tersebut walaupun menyertai barisan pemimpin tertinggi Umno sejak lebih 20 tahun.

Mengulas lanjut, Faiz berkata beliau hanya mengulas perkara yang muncul dalam persidangan mahkamah dan beliau sendiri tidak mempunyai bukti berkenaan perkara itu.

“Saya mengulas perkara itu sahaja. Saya tak kata saya nampak bukti. Saya mengulas berdasarkan isu itu. Perkara ini masih dibicarakan di mahkamah, jadi saya tak berani ulas lebih.

“Apatah lagi ia sudah disebut di mahkamah. Kalau pendakwa raya sebut, biasanya berdasarkan bukti yang mereka dapat dan mereka boleh kemuka kepada hakim.

“Mereka tak buat tuduhan sembarangan. Itu bukti, cuma terpulang kepada hakim untuk memutuskan kes tersebut,” kata Faiz lagi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata beliau tidak bermaksud mahu Umno diharamkan. – Gambar Facebook, 14 Februari, 2021.

Beliau juga menegaskan pihaknya tidak menjadikan Umno sebagai sasaran susulan pendedahan itu.

“Bagi saya bab korupsi atau salah guna kuasa tiada kompromi. Saya bercakap berdasarkan fakta dan bukan fitnah, saya tidak mencipta situasi itu,” katanya.

Jelasnya, beliau mengambil sikap serupa dengan menggesa siasatan dilakukan pihak berkuasa sekiranya terdapat tuduhan salah laku melibatkan pemimpin Bersatu.

Katanya, perkara itu boleh dilihat apabila Bersatu tidak membela pemimpin parti tertentu yang ditahan berkaitan kesalahan mengedar dadah.

“Tapi di sebelah saya, saya adil jika ia dilaporkan berlaku kepada Bersatu, contohnya ada ahli Bersatu ditangkap edar dadah kita tak bela, biar polis siasat.

“Saya bukan berniat nak tengok Umno diharamkan… Tidak. Mana-mana parti yang didapati bersalah mereka kena pertahankan diri,” katanya.

Mahkamah pada Jumaat lalu diberitahu, akaun berkenaan dibuka di Southern Bank di Wisma Genting oleh pemimpin tertinggi Umno pada 1988.

Laporan The Edge menyebut, pembukaan akaun dibuat presiden parti waktu itu Dr Mahathir Mohamad, timbalannya Ghafar Baba dan bendahari Daim Zainuddin.

Pendakwaan menyebut akaun tersebut, yang didakwa untuk menerima sumbangan politik, tidak diaudit oleh firma luar dan wang berkenaan tidak diperiksa dalam penyata kewangan tahunan parti.

Menurut pendakwaan, perkara itu melanggar Seksyen 14(1)(d) dan (b) Akta Pertubuhan 1966, yang boleh menyebabkan pendaftaran Umno dibatalkan.

The Edge melaporkan pembukaan akaun dibuat presiden Umno waktu itu Dr Mahathir Mohamad, timbalannya Ghafar Baba dan bendahari Daim Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2021.

Umno diharamkan pada 1988 selepas parti itu berpecah dua ekoran persaingan sengit dalam pemilihan parti, dan didaftarkan semula oleh Dr Mahathir pada waktu itu sebagai Umno Baharu.

Pada 2015, Dr Mahathir dilaporkan berkata sumbangan politik dimasukkan ke dalam akaun yang dikendalikan tiga pemegang amanah termasuk beliau sendiri semasa menjadi presiden parti.

Katanya, wang berkenaan kemudian diserahkan keapda penggantinya Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan beliau sebagai presiden Umno dan perdana menteri.

Tambahnya lagi, Umno secara keseluruhan tidak wajar dipersalahkan sekiranya perkara itu berlaku jika ia merupakan perbuatan segelintir pemimpin Umno yang membahayakan parti itu.

Beliau juga mengesyaki perbuatan seperti menyelia akaun haram tersebut mungkin dilakukan sesetengah pemimpin tertentu sahaja dalam Umno.

Oleh itu, wajar jika pemimpin lain yang tidak tahu menahu mengenai kewujudan akaun tersebut menafikannya, kata Faiz.

“Wajar pemimpin Umno nafikan. Mereka tak tahu kewujudan akaun itu. Itu akaun rahsia, kalau mereka tahu apa yang rahsianya?”

“Pada pendapat saya ini bukan salah semua parti Umno tapi ada beberapa pemimpin dia yang tak baik, ada beberapa pemimpin secara bersembunyi buat perkara membahayakan parti mereka.”

Lazimnya dalam struktur sesebuah parti, individu yang akan mengetahui perkara sulit seperti itu terdiri daripada presiden, bendahari agung dan setiausaha agung, katanya.

Butiran mengenai akaun itu muncul dalam prosiding saman bekas presiden Umno Najib Razak dan parti itu untuk mendapatkan semula wang tunai RM114.16 juta yang dirampas pihak berkuasa.

Perkara itu didedahkan pihak pendakwaan menyanggah dakwaan bahawa wang tunai RM114.16 yang dilucut hak berkaitan 1MDB yang dirampas dari satu syarikat, Obyu Holdings Sdn Bhd.

Najib dan Umno dalam saman mendakwa wang tersebut, yang merupakan sebahagian daripada sejumlah RM680 juta dirampas dari Obyu Holdings Sdn Bhd, merupakan wang milik parti itu.

Dua lagi pihak yang mengemukakan tuntutan dalam kes itu ialah isteri Najib, Rosmah Mansor dan Global Royalty Trading SAL yang mahu memeriksa barang rampasan.

Barang rampasan tersebut meliputi 11,991 unit barang kemas, 401 jam tangan, 16 aksesori jam, 234 pasang kaca mata, 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.

Barangan tersebut dirampas di kediaman mewah dikaitkan dengan Najib, apabila siasatan berkaitan penyelewengan 1MDB dimulakan ke atasnya sebaik BN tewas pilihan raya umum 2018. – 14 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen