RUSSIA mendakwa berjaya memintas dua peluru berpandu di wilayah Rostov selatannya yang bersempadan dengan Ukraine, dengan sekurang-kurangnya 16 orang cedera akibat serpihan di bandar Taganrog.
Kawasan sempadan Ukraine kerap berdepan serangan dron dan tembakan sejak Moscow melancarkan kempen ketenteraannya pada Februari tahun lalu, tetapi hampir tidak pernah menjadi sasaran peluru berpandu.
“Peralatan pertahanan udara Rusia mengesan peluru berpandu Ukraine dan memintasnya di udara. Serpihan peluru berpandu Ukraine yang jatuh di wilayah Taganrog,” kata kenyataan kementerian pertahanan.
Kementerian itu berkata peluru berpandu S-200 pertama disasarkan kepada “infrastruktur kediaman” Taganrog, sebuah bandar yang mempunyai 250,000 penduduk.
Tidak lama selepas itu, katanya ia menembak peluru berpandu S-200 kedua berhampiran bandar Azov, dengan serpihan jatuh di kawasan tidak berpenghuni.
Gabenor wilayah Rostov Vasily Golubev berkata 15 orang mengalami “cedera ringan” akibat serpihan dalam letupan berhampiran kafe “Chekhov Garden” di tengah Taganrog.
“Penyelamat berada di tempat kejadian. Tidak ada yang maut. Terdapat beberapa yang cedera yang mana ambulans telah dihantar,” kata Golubev di Telegram.
Perkhidmatan kecemasan memberitahu agensi berita Rusia TASS dan Ria Novosti 16 orang cedera, 10 daripadanya dimasukkan ke hospital, dengan seorang dalam keadaan serius. – AFP, 29 Julai, 2023.
Komen