Peguam dakwa temui bom di kereta


Kalidevi Mogan Kumarappa

Dua botol minuman berisi wayar yang disyakinya sebagai bom tersangkut di komponen roda kereta milik peguam dan aktivis sosial Siti Kasim. – Gambar Facebook, 21 Julai, 2023.

PEGUAM dan aktivis sosial Siti Kasim mendakwa menemui objek yang disyakinya sebagai bom di keretanya.

Siti berkata, beliau menemui objek tersebut di bahagian roda ketika kenderaan tersebut diselenggara di satu pusat servis di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, petugas menemui dua botol minuman berisi wayar yang disyakinya sebagai bom tersangkut di komponen roda.

“Terdapat dua botol mineral yang disangkut di bahagian belakang tayar kereta. Ketika ini kereta masih di bengkel dan tidak dapat berbuat apa-apa.

“Saya sudah menghubungi polis menerusi panggilan 999 dan memberitahu ini adalah ancaman bom,” katanya.

Menurutnya, beliau menghantar kenderaan itu untuk diservis kerana akan membuat perjalanan ke Kelantan bagi menyelesaikan isu Orang Asli di sana.

“Saya diberitahu pemilik bengkel berkenaan dan bertanya apa sudah jadi dengan kereta saya, saya kemudian melihat gambar yang dihantar kepada saya dan sangat terkejut.

“Pihak polis kini sudah hadir dan orang ramai yang berada di pusat servis berkenaan diarahkan keluar,” katanya.

Difahamkan ketika ini pihak polis sedang memeriksa kenderaan milik peguam berkenaan bersama unit pengesan bom dan turut merakam keterangan peguam tersebut.

Siti bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu dalam pilihan raya umum ke-15. – 21 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen