Cemburu, marah disyaki punca tukang masak maut dalam letupan


Kalidevi Mogan Kumarappa

MOTIF cemburu dan marah dipercayai punca kejadian kes letupan sebuah bungkusan yang ditinggalkan di atas kereta di luar sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang Jaya, minggu lepas, yang membunuh seorang tukang masak.

Menurut sumber, tangkapan ke atas sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan adalah hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Pasangan itu ditahan di sebuah rumah di Kulim, Kedah, semalam. Si mati juga difahamkan berasal dari kawasan yang sama dengan kedua-dua suspek.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku terbabit dalam kejadian letupan itu.

“Motif kejadian itu dipercayai akibat cemburu dengan perbualan wanita itu bersama si mati selain marah dengan tindakan keterlaluan si mati mengganggu wanita berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, kata sumber, siasatan masih di peringkat awal dan polis perlu menyiasat punca kejadian dengan lebih mendalam.

“Turut ditemui beberapa bahan dipercayai digunakan untuk membuat bom hasil serbuan di rumah suspek.

“Pemeriksaan dijalankan Unit Forensik di rumah terbabit menemukan beberapa kandungan bahan sama yang dipercayai untuk menghasilkan bahan letupan itu.

“Penemuan beberapa bahan ini sekali gus menjadi petunjuk suspek disyaki terbabit dalam kejadian letupan terbabit,” katanya.

Menurut sumber, bahan letupan itu dipercayai adalah buatan sendiri dan beberapa bahan seperti alat kawalan jauh untuk meletupkan bahan letupan itu dibeli secara atas talian.

Timbalan Ketua Polis Selangor S Sasikala Devi pula mengesahkan pasangan suami isteri itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek diberkas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.

“Serbuan dijalankan kira-kira jam 7.20 petang di sebuah taman perumahan, Serdang, Kedah.

“Perintah tahanan reman telah dipohon dan pihak Majistret telah membenarkantahanan reman terhadap pasangan ini selama tujuh hari,” katanya dalam kenyataan.

Pada 29 Disember lalu, media melaporkan mangsa berusia 28 tahun maut selepas satu bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya meletup dalam kejadian di hadapan sebuah restoran yang merupakan tempat kerjanya.

Mangsa dilaporkan mahu mengalih sebuah bungkusan itu selepas dimaklumkan rakan sekerja.

Siasatan polis di tempat kejadian turut menemui antaranya bateri, serpihan pisau dan alat pengecas mudah alih.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak sebelum ini dilapor berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. – 4 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen