Angka korban akibat 2 letupan bom di Somalia meningkat 100 nyawa


Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud menyifatkan kejadian itu sebagai "bersejarah", sambil berkata "ia adalah tempat yang sama, dan menyebabkan orang yang tidak bersalah turut terlibat." – Gambar EPA, 30 Oktober, 2022.

ANGKA korban akibat dua letupan bom ke atas dua kereta yang didalangi kumpulan Al-Shabaab di Mogadishu meningkat kepada 100 orang, kata Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, hari ini.

“Setakat ini, jumlah kematian mencecah 100 orang dan 300 cedera, manakala jumlah kematian dan kecederaan terus meningkat,” katanya selepas melawat lokasi letupan.

Dua kereta yang penuh dengan bahan peledak diletupkan dalam beberapa minit berhampiran persimpangan Zobe yang sibuk, diikuti dengan tembakan dalam serangan yang menyasarkan kementerian pendidikan Somalia.

Letupan petang semalam mengakibatkan dinding musnah, tingkap bangunan berhampiran pecah, dan serpihan terbang dan kepulan asap dan debu ke udara.

Mangsa termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas, kata jurucakap polis, Sadik Dudishe.

“Pengganas membunuh beberapa wanita. Beberapa daripada mereka meninggal dunia bersama anak mereka yang terperangkap di belakang,” katanya, hari ini, sambil menambah serangan berjaya dihentikan bagi mengelakkan lebih ramai “orang awam dan pelajar yang tidak bersalah” terbunuh.

Serangan itu berlaku di persimpangan sibuk yang sama di mana sebuah trak yang penuh dengan bahan letupan meletup pada 14 Oktober 2017, mengorbankan 512 nyawa dan mencederakan lebih 290, serangan paling maut di negara bergolak itu.

Mohamud menyifatkan kejadian itu sebagai “bersejarah”, sambil berkata “ia adalah tempat yang sama, dan menyebabkan orang yang tidak bersalah turut terlibat.”

“Ini tidak betul. Insya-Allah, mereka tidak akan mempunyai keupayaan untuk melakukan satu lagi insiden Zobe,” katanya merujuk kepada kumpulan Islamis Al-Shabaab.

Al-Shabaab yang dikaitkan dengan Al-Qaeda mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dalam satu kenyataan, berkata pejuangnya menyasarkan kementerian pendidikan. – AFP, 30 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen