Gerakan dijangka tewas dalam perang PRN, kata penganalisis


Ravin Palanisamy

Kegagalan Gerakan pada PRN kali ini akan menjejaskan peluang PN untuk menang di negeri tertentu, kata penganalisis. – Gambar Facebook, 11 Julai, 2023.

GERAKAN, parti komponen Perikatan Nasional (PN) dijangka tewas pada pilihan raya negeri (PRN) di empat negeri yang ingin ditandinginya, kata penganalisis politik.

Gerakan hilang Pulau Pinang pada 2008 dan kali terakhir parti itu menang adalah pada pilihan raya umum (PRU) 2013 ketika mereka berjaya tawan dua kerusi di Sabah dan satu di Johor.

Pada 2014, presiden Gerakan pada masa itu Mah Siew Keong menewaskan Dyana Sofia, calon DAP pada Pilihan Raya Kecil Teluk Intan.

Penganalisis berkata parti itu, yang memutuskan untuk bertanding di 36 kerusi, akan berdepan halangan sukar untuk menarik pengundi bukan Melayu.

Presiden Gerakan Dominic Lau mengesahkan parti itu akan bertanding 19 kerusi di Pulau Pinang, lapan di Selangor, enam di Negeri Sembilan dan tiga di Kedah.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata berdasarkan kepada rekod PRU terdahulu, cabaran sukar menanti Gerakan untuk bersaing dengan DAP atau PKR yang juga sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Keputusan pilihan raya sebelum ini – PRN Melaka dan Johor serta PRU15 – menunjukkan Gerakan masih tidak menemui formula untuk menarik pengundi menyokong parti mereka atau memberi nilai tambah kepada PN,” kata Hisommudin kepada The Malaysian Insight.

Pengarah firma penyelidikan itu berkata dijangkakan Gerakan akan masih kalah teruk pada PRN akan datang.

Katanya, kegagalan Gerakan akan memberi kesan kepada peluang PN untuk menang di negeri tertentu.

“Melihat kepada senario semasa, saya tidak fikir Gerakan akan dapata bertanding untuk 19 kerusi di Pulau Pinang, lapan di Selangor, enam di Negeri Sembilan dan tiga di Kedah.

“Kerusi ini akan menyebabkan PN terjejas kerana kemungkinan kemenangan Gerakan sangat tipis,” katanya.

Hisommudin berkata amat sukar untuk Gerakan merampas kerusi DAP di Pulau Pinang, negeri yang ditadbirnya hampir empat dekad.

“Gerakan berdepan misi sukar untuk mencabar dominasi DAP di Pulau Pinang.

“Saya percaya sokongan pengundi bukan Melayu akan terus kekal dengan PH dan DAP,” katanya.

Takdir Gerakan tidak akan berubah

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata Gerakan, yang bercadang untuk bertanding banyak kerusi di Pulau Pinang, tidak akan menggentarkan DAP pun.

“Gerakan tidak pernah pulih sejak ia tewas dan hilang Pulau Pinang pada 2008.

“Malah dengan sokongan PAS dan Bersatu pun, ia tidak akan dapat menewaskan DAP di Pulau Pinang.

“Parti itu tidak ada kepimpinan yang berwawasan dan dilihat sebagai rakan kerjasama junior dalam PN,” katanya.

Tunku Mohar berkata peluang Gerakan di luar Pulau Pinang akan lebih teruk lagi, kecuali PAS atau Bersatu memutuskan untuk memberikan mereka kerusi selamat iaitu kawasan majority Melayu.

Bagaimanapun, katanya tidak mungkin PAS atau Bersatu akan membenarkan calon Gerakan bertanding di kerusi majority Melayu.

Tunku Mohar berkata Gerakan tidak akan mampu menarik pengundi bukan Melayu untuk mengundi PN.

“Kebanyakan bukan Melayu akan undi PH, atau paling kurang pun, Barisan Nasional,” katanya. – 12 Julai, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen