Gerakan mahu tanding 30 kerusi PRN, lapor media


Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai dilaporkan berkata rundingan agihan kerusi antara parti itu dengan komponen dalam Perikatan Nasional hampir 90% siap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei 2023.

PARTI Gerakan mahu bertanding di 30 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata presidennya Dominic Lau.

Beliau dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata rundingan agihan kerusi antara parti itu dengan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) hampir 90% siap.

“Bagi Gerakan, 30 kerusi telah dipilih untuk ditandingi di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Tambah Dominic, Gerakan belum memutuskan untuk menghantar wakil bertanding di Kelantan dan Terengganu.

“Bagi Kelantan dan Terengganu, masih dalam rundingan PN pada ketika ini.

“Kami (Gerakan) tidak kisah sekiranya tidak bertanding di dua negeri tersebut kerana matlamat utamanya adalah untuk memastikan PN menang ketika bertanding nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Dominic berkata Gerakan berharap untuk menang di Pulau Pinang kerana pendirian parti itu adalah untuk menjadi platform suara rakyat di negeri itu.

Gerakan pernah mentadbir Pulau Pinang selama 39 tahun antara 1969 dan 2008 semasa parti itu berada dalam gabungan Barisan Nasional (BN) sehinggalah parti itu kalah teruk kepada DAP pada 2008.

Pada pilihan raya umum 2018, Gerakan bertanding di 22 Parlimen dan 31 DUN tetapi gagal memenangi sebarang pertandingan.

Parti itu mengambil keputusan untuk keluar daripada BN pada 2018, kemudian menyertai PN pada 2021. – 29 Mei 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen