GERAKAN mempelawa Khairy Jamaluddin menyertai parti itu susulan pemecatan beliau daripada Umno semalam.
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Wong Chia Zhen berkata bekas menteri kesihatan itu akan serasi dengan parti berbilang kaum itu yang juga sebahagian daripada pakatan Perikatan Nasional.
“Walaupun Khairy pernah memainkan isu perkauman pada masa lalu ketika menjadi ketua Pemuda Umno, kami sedia memaafkannya kerana kita semua manusia dan kita boleh melakukan kesilapan.
“Saya percaya Gerakan adalah platform paling sesuai untuk Khairy ketika ini. Kami mengalu-alukan Khairy untuk menyertai Gerakan sebagai ahli,” katanya dalam satu kenyataan.
Wong juga berkata Umno membuat keputusan yang salah dalam memecat bekas ahli Parlimen Rembau itu.
Beliau berkata Khairy adalah ahli politik yang berkaliber dan hampir berjaya menggulingkan Pakatan Harapan (PH) di kubu kuatnya di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
Umno semalam memecat Khairy Jamaluddin dan Noh Omar kerana didakwa bertentangan dengan kepentingan parti.
Pada masa sama Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan penyandang timbalan ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan Suffian digantung selama enam tahun.
Turut digantung tugas ialah bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang.
Khairy dilihat sering mengkritik Umno di bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi.
Pada PRU15 beliau dipindahkan daripada kerusi Rembau untuk membenarkan timbalan presiden parti Mohamad Hassan bertanding.
Khairy diberi kerusi sukar Sungai Buloh di mana beliau dikalahkan oleh R Ramanan dari PKR dengan majoriti 2,693 undi.
Semasa perhimpunan agung tahunan Umno baru-baru ini Khairy turut menyindir Zahid supaya bersedia menghadapi cabaran dalam pemilihan parti akan datang.
Walau bagaimanapun perwakilan parti secara besar-besaran mengundi untuk tidak mengadakan sebarang pertandingan untuk dua jawatan teratas, satu tindakan yang dikritik hebat oleh Khairy.
Walaupun begitu Zahid berkata parti akan mengambil tindakan terhadap Khairy kerana bertentangan dengan kepentingan parti. – 28 Januari 2023.
Komen