SEKURANG-KURANGNYA 41 orang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah sekolah di barat Uganda yang rata-rata mangsa merupakan pelajar, kata pegawai hari ini.
Serangan itu merupakan paling maut di negara itu dalam lebih sedekad.
Tentera berkata mereka sedang memburu Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF) yang turut menculik enam orang semasa serbuan di sebuah sekolah lewat Jumaat sebelum melarikan diri ke Republik Demokratik Congo.
Pegawai dan saksi berkata pistol dan pisau digunakan dalam serangan di tengah malam dan asrama yang dibakar di Sekolah Menengah Lhubiriha di Mpondwe.
Polis berkata militan yang ada kaitan dengan Negara Islam berada di belakang serangan itu.
Datuk bandar majlis bandaran Mpondwe-Lhubiriha Sylvester Mapozi di mana serangan itu berlaku berkata 39 pelajar terbunuh di sekolah itu.
Ramai daripada mangsa melecur sehingga tidak dapat dikenali manakala pelajar lain masih tidak dapat dikesan, katanya.
Mumbere Edgar Dido, 16, berkata penyerang tiba di asrama dengan membawa parang dan senjata api serta melepaskan tembakan dari luar menyebabkan semua orang bersembunyi di bawah katil mereka.
“Mereka terus menembak melalui tingkap kemudian membakar bilik kami sebelum pergi ke asrama perempuan,” katanya. – AFP, 18 Jun, 2023.
Komen