Angka kematian akibat Ebola di Uganda cecah 44 orang


Minggu lalu dua daerah di tengah Uganda dikenakan sekatan, mengenakan larangan perjalanan, perintah berkurung dan penutupan tempat awam susulan penularan Ebola. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2022.

JUMLAH kematian akibat wabak Ebola yang diisytiharkan bulan lalu di Uganda meningkat kepada 44 orang, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu taklimat media di Geneva, terdapat 60 kes yang disahkan dan 20 kes berkemungkinan, dengan 44 kematian dan 25 pesakit pulih.

“Kami tetap bimbang mungkin terdapat lebih banyak rantaian penularan dan lebih banyak kontak daripada yang kita ketahui dalam komuniti yang terjejas,” tambahnya.

Angka kematian sebelum ini yang disediakan oleh WHO pada 5 Oktober sebanyak 29 kematian.

Presiden Yoweri Museveni minggu lalu mengarahkan dua daerah di tengah Uganda supaya dikenakan sekatan, mengenakan larangan perjalanan, perintah berkurung dan penutupan tempat awam.

Museveni juga mengarahkan pakar perubatan tradisional untuk berhenti merawat mereka yang sakit, dalam usaha untuk menghentikan penyebaran virus itu.

Beliau turut mengarahkan polis menangkap sesiapa yang dijangkiti Ebola yang enggan mengasingkan diri.

Pihak berkuasa berkata wabak itu masih tertumpu di daerah tengah Mubende dan Kassanda, belum sampai ke Kampala, walaupun sepasang suami isteri disahkan positif virus itu di ibu negara.

Tedros pada Rabu berkata dua kes dari Mubende mendapatkan rawatan di Kampala, meningkatkan risiko penularan di bandar yang mempunyai 1.5 juta penduduk.

Ebola merebak melalui cecair badan, dengan gejala biasa ialah demam, muntah, pendarahan dan cirit-birit.

Wabak itu sukar dibendung terutamanya dalam persekitaran bandar.

Kematian terakhir yang direkodkan di Uganda akibat wabak Ebola sebelum ini ialah pada 2019.

Strain yang kini berlegar di Uganda dikenali sebagai virus Ebola Sudan, yang pada masa ini tiada vaksin.

WHO berkata ujian klinikal mungkin bermula dalam beberapa minggu lagi terhadap ubat-ubatan bagi memerangi strain itu. – AFP, 20 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen