Universiti Uganda dikecam arah pelajar buat ujian kehamilan


Universiti Antarabangsa Kampala di Uganda bagaimanapun semalam menarik balik arahan pelajar perempuan universiti itu mengambil ujian kehamilan bagi menduduki peperiksaan akhir tahun. – Gambar AFP, 11 November, 2022.

SEBUAH universiti swasta di Uganda menerima kecaman semalam selepas mengarahkan pelajar perempuan mengambil ujian kehamilan bagi menduduki peperiksaan akhir tahun.

Arahan dikeluarkan Universiti Antarabangsa Kampala itu bagaimanapun ditarik balik selepas dikritik teruk kerana bersifat diskriminasi.

Memo yang dilihat AFP mengarahkan semua jururawat wanita dan pelajar kursus perbidanan mengambil ujian kehamilan dengan mengenakan bayaran 5,000 Syiling Uganda.

“Anda tidak dibenarkan menduduki peperiksaan UNMEB (Lembaga Jururawat dan Bidan Uganda),” menurut memo tersebut.

Perkara itu dibangkitkan di Parlimen Uganda semalam, dengan speaker Anita Among menyifatkan arahan tersebut sukar diterima.

Berkongsi pandangan serupa, seorang ahli Parlimen, Sarah Opendi menyeru kerajaan memastikan tiada lagi arahan serupa dikeluarkan institusi pendidikan lain.

Sementara itu aktivis hak wanita Catherine Kyobutungi di Twitter pula berkata, “Arahan ini tidak masuk akal, diskriminasi dan langsung tidak boleh diterima.”

Selepas menerima kecaman, timbalan naib canselor universiti itu, Frank Kaharuza Mugisha umum arahan tersebut ditarik serta-merta.

“Fokus kepada persiapan untuk peperiksaan anda. Saya doakan anda semua berjaya,” katanya.

Universiti Antarabangsa Kampala ialah institusi pendidikan swasta bukan untung yang diasaskan pada 2001. Universiti dengan lebih 12,000 pelajar dari benua Afrika itu mempunyai kampus cawangan di Uganda, Tanzania dan Kenya. – AFP, 11 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen