Uganda lanjut perintah berkurung kekang Ebola


Seorang anggota polis Uganda berkawal ketika perintah berkurung di daerah Mubende dilaksanakan bagi membendung penularan Ebola. – Gambar AFP, 6 November, 2022.

UGANDA melanjutkan perintah berkurung selama tiga minggu di dua daerah ekoran wabak Ebola menular di negara itu, yang setakat ini meragut lebih 50 nyawa.

Ebola merebak ke seluruh negara termasuk ibu kota Kampala sejak wabak itu diisytiharkan di daerah Mubende pada 20 September lalu.

Pihak berkuasa Uganda semalam berkata angka korban Ebola kini mencecah 51 orang.

Strain yang kini menular di Uganda dikenali sebagai virus Ebola Sudan, yang buat masa ini masih belum ada vaksin untuk mencegah jangkitan.

Rabu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Uganda telah melaporkan lebih 150 kes Ebola yang disahkan dan disyaki, termasuk 64 kematian.

WHO turut mengeluarkan amaran bahawa terdapat risiko tinggi Ebola boleh merebak lebih jauh dan menyeru negara jiran Uganda meningkatkan kesiapsiagaan mereka.

Presiden Uganda Yoweri Museveni pada 15 Okober lalu mengarahkan sempadan ditutup selama 21 hari di Mubende dan daerah Kassanda. Negara itu belum bercadang untuk mengenakan sekatan di seluruh negara.

Museveni juga mengarahkan polis menangkap sesiapa yang dijangkiti Ebola tetapi enggan mengasingkan diri.

Semalam, Menteri Kesihatan Ruth Jane Aceng memaklumkan kepada AFP perintah berkurung di Mubende dan Kassanda akan dilanjutkan untuk 21 hari lagi.

Ebola merebak melalui cecair badan, bersama gejala demam, muntah, pendarahan dan cirit-birit. Wabak itu sukar dibendung, terutamanya di kawasan bandar.

Wabak Ebola terburuk di Afrika Barat antara 2013 hingga 2016, meragut lebih 11,300 nyawa. – AFP, 6 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen