Rakyat Serbia protes besar-besaran terhadap kerajaan


Rakyat Serbia berhimpun memprotes kerajaan dan menuntut peletakan jawatan menteri dalam negeri dan ketua perisikan.– Gambar Facebook, 18 Jun, 2023.

PULUHAN ribu rakyat berhimpun bagi membantah kerajaan di ibu negara Serbia pada Sabtu. 

Ia merupakan perhimpunan terbaharu seumpama itu sejak kejadian tembakan besar-besaran meragut 18 nyawa.

Perhimpunan berkenaan yang digelar “Serbia menentang keganasan”, diteruskan di tiga bandar utama negara Balkan itu, Novi Sad, Kragujevac dan Nis, lapor media tempatan.

Perhimpunan itu menjadi yang terbesar sejak demonstrasi meluas mencetuskan kejatuhan Slobodan Milosevic lebih dua dekad lalu.

Ia dicetuskan oleh dua kejadian tembakan pada Mei yang meragut 18 nyawa dan menyebabkan beberapa orang cedera.

Mangsa yang maut termasuk sembilan pelajar di sebuah sekolah rendah Belgrade yang ditembak mati oleh rakan sebaya berusia 13 tahun.

Demonstrasi itu, yang dianjurkan oleh beberapa parti pembangkang pro-Eropah, dicetuskan oleh kemarahan memuncak kepada parti pemerintah berhubung budaya keganasan yang disifatkan oleh kerajaan dan media yang dikawalnya.

“Sama ada keganasan akan berhenti atau Serbia akan berhenti,” kata wartawan Smiljan Banjac kepada orang ramai di Belgrade.

“Ini bukan radikalisasi, ini adalah seruan kami untuk melindungi kanak-kanak, untuk memastikan mereka membesar dengan selamat.”

Penunjuk perasaan mahu kerajaan membatalkan lesen penyiaran saluran televisyen yang mempromosikan kandungan ganas, dan larangan ke atas akhbar pro-kerajaan yang menyasarkan penentang politik.

Mereka juga menuntut peletakan jawatan menteri dalam negeri dan ketua perkhidmatan perisikan. – AFP, 18 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen