Penganut Kristian Ortodoks Serbia protes himpunan LGBTQ


Biarawati Kristian Ortodoks memegang plakad lukisan ikon Kristian 'Litiya untuk keselamatan Serbia' di Belgrade. Beribu-ribu penganut berarak menentang penganjuran himpunan LGBTQ Euro Pride, yang sepatutnya berlangsung bulan depan di ibu negara Serbia. – Gambar AFP, 29 Ogos, 2022.

BERIBU-RIBU penganut Kristian Ortodoks berarak di Belgrade pada Ahad sebagai amaran dan protes terhadap perhimpunan Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual (LGBTQ) EuroPride.

Protes itu dibuat walaupun pihak berkuasa Serbia telah berjanji untuk batal atau tangguhkan perhimpunan komuniti LGBTQ bulan depan.

Dengan membawa ikon, salib dan bendera agama, penunjuk perasaan berarak melalui pusat bandar sambil berdoa dan berzikir sebelum berkumpul di luar katedral St Sava.

Presiden Aleksandar Vucic pada Sabtu mengumumkan beliau telah memutuskan, setelah berunding dengan kerajaan, yang perarakan LGBTQ itu akan “ditangguh atau dibatalkan”.

Vucic berkata mustahil untuk “mengendalikan segala-galanya” ketika Serbia “ditekan dengan semua jenis masalah”, menggariskan ketegangan baru-baru ini dengan bekas wilayah Kosovo dan kebimbangan tenaga dan makanan.

Tetapi penganjur EuroPride berikrar untuk meneruskan perarakan itu.

“Pride akan diteruskan seperti yang dirancang pada 17 September,” kata penyelaras Belgrade Pride Marko Mihailovic.

Berucap kepada orang ramai pada Ahad, Uskup Ortodoks Serbia Nikanor memuji keputusan pihak berkuasa untuk membatalkan “pencemaran negara kita, Gereja kita dan keluarga kita”.

Ia “tidak normal” dan sepatutnya dilayan seperti di Rusia, kata Nikanor, yang digelar Presiden Rusia Vladimir Putin sebagai “tsar planet.”

Pada 2013, Rusia memperkenalkan undang-undang yang melarang “propaganda” LGBT yang menyasarkan kanak-kanak bawah umur, dengan hukuman denda dan penjara.

Uskup Nikanor berkata orang yang beriman bersedia untuk turun ke jalan sekali lagi bagi mempertahankan nilai Serbia daripada ancaman LGBTQ. – AFP, 29 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen