Pemimpin Serbia nafi bekal senjata kepada Ukraine 


Presiden Serbia Aleksandar Vucic menafikan dakwaan negaranya menjual senjata kepada Ukraine.– Gambar AFP, 14 April, 2023.

PRESIDEN Serbia Aleksandar Vucic berkata negaranya tidak menjual senjata kepada Ukraine dan tidak akan berbuat demikian, selepas laporan Pentagon yang bocor mengatakan Belgrade bersetuju untuk memberikan senjata kepada Kyiv, menurut laporan media asing.

“Serbia tidak dan tidak akan mengeksport senjata ke Ukraine,” kata Vucic kepada pemberita, menurut agensi berita Beta.

Dia menambah bahawa negara Balkan, sekutu tradisional Rusia, “belum dan tidak akan” menghantar peluru sama ada ke Ukraine atau Rusia.

“Tiada dokumen yang akan menunjukkan sesuatu seperti itu,” tambahnya.

Pada hari Rabu, Reuters adalah yang pertama melaporkan mengenai dokumen sulit Pentagon, yang mendakwa Serbia “telah bersetuju untuk membekalkan senjata kepada Kyiv atau telah menghantarnya”.

Reuters berkata ia tidak boleh secara bebas mengesahkan kesahihan dokumen itu.

Menteri Pertahanan Serbia, Milos Vucevic dengan cepat menolak dakwaan itu dan berkata negaranya “belum dan tidak akan menjual senjata sama ada kepada Ukraine atau Rusia”.

“Jelas seseorang berhasrat untuk mengheret Serbia ke dalam konflik itu, tetapi kami mematuhi dasar kami secara konsisten,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan Pentagon yang bocor itu adalah ringkasan tindak balas kerajaan Eropah terhadap permintaan Ukraine untuk latihan ketenteraan dan bantuan senjata, menurut laporan media.

Selain Belarus, Serbia adalah satu-satunya negara Eropah yang tidak menyertai sekatan Barat terhadap Moscow.

Tetapi negara itu, yang bercita-cita untuk menyertai Kesatuan Eropah, telah menyokong beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap Rusia berhubung pencerobohannya ke atas Ukraine. – AFP, 14 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen