MENTERI Pendidikan Serbia Branko Ruzic umum letak jawatan semalam, empat hari selepas kejadian tembakan rambang di sebuah sekolah yang meragut nyawa lapan pelajar dan seorang pengawal keselamatan.
Seorang remaja berusia 13 tahun ditahan selepas insiden pada Rabu minggu lepas.
Melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri Serbia Ana Brnabic, Ruzic menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang menggemparkan seluruh negara.
“Sebagai seorang yang bertanggungjawab serta profesional dalam melaksanakan semua tugas, saya kemukakan peletakan jawatan saya sebagai menteri pendidikan dalam kerajaan Republik Serbia,” katanya dalam surat yang dimuat naik di Twitter.
Ruzic, 47, dari Parti Sosialis Serbia, sebelum ini menyalahkan Internet, permainan video dan “nilai-nilai Barat” sebagai punca insiden tembakan beramai-ramai yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Parti pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia mendesak agar menteri itu letak jawatan. Sementara itu ribuan orang berkumpul di hadapan kementerian pendidikan sehari selepas kejadian, juga menuntut Ruzic melepaskan jawatannya.
Tidak sampai 48 jam selepas kejadian tembakan di sekolah pada Rabu lepas, Serbia dikejutkan dengan satu lagi kes pembunuhan beramai-ramai apabila seorang lelaki berusia 21 tahun menembak mati lapan orang di sebuah kampung berhampiran ibu kota Belgrade.
Presiden Serbia Aleksandar Vucic berjanji akan melancarkan pelan pelucutan senjata berskala besar, manakala polis berikrar untuk mengerahkan pegawai meronda di semua sekolah.
Serbia antara negara yang mempunyai kadar pemilikan senjata api tertinggi di dunia. – AFP, 8 Mei 2023.
Komen