KYIV mengumumkan tentera Ukraine menawan semula tiga kampung di wilayah timur Donetsk, yang merupakan perkembangan serangan terbaharu mereka.
Namun serangan itu turut menyaksikan tiga orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 23 lagi cedera ketika Rusia membedil bot penyelamat yang memindahkan orang awam dari wilayah yang dikuasai Rusia, kata pejabat pendakwa wilayah Kherson.
Penganalisis di badan pemikir Institut Kajian Perang yang berpangkalan di Washington mengatakan tentera Kyiv telah melancarkan operasi serangan balas di sekurang-kurangnya empat kawasan barisan hadapan.
Selepas berbulan-bulan membuat perancangan, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengesahkan pada hari Sabtu serangan balas terhadap tentera Rusia telah bermula.
“Neskuchne wilayah Donetsk kini kembali berada di bawah bendera Ukraine,” kata perkhidmatan pengawal sempadan negeri.
Sementara itu, tentera Ukraine berkata pihaknya menawan kampung berhampiran Blagodatne. Tentera darat mengeluarkan video yang menunjukkan askar menaikkan bendera Ukraine di atas bangunan yang musnah.
Jurucakap tentera Valeriy Shershen dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen berkata, kampung itu terletak di sempadan wilayah timur Donetsk dan wilayah selatan Zaporizhzhia, di mana Moscow melaporkan serangan besar Ukraine sepanjang minggu lalu.
Tentera Ukraine telah menawan beberapa tentera Rusia dan pro-Rusia, tambah Shershen.
Susulan itu, timbalan menteri pertahanan Ganna Malyar berkata tentera Ukraine telah menawan semula kampung ketiga, Makarivka, barat laut Blagodatne. – AFP, 12 Jun, 2023.
Komen