Pemisah dakwa 16 maut di Donetsk selepas serangan Ukraine


Bendera wilayah Donetsk yang pro-Rusia bersama potret Vladimir Putin diletak sebagai tanda sokongan terhadap Moscow. Pada Isnin kumpulan pemisah pro-Rusia mendakwa 16 orang terbunuh akibat serangan oleh Ukraine di Donetsk. – Gambar EPA, 14 Mac, 2022.

KUMPULAN pemisah pro-Rusia di timur Ukraine berkata pada Isnin serangan tentera Kyiv ke atas ibu kota pemberontak di Donetsk menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang terkorban, menjelang rundingan untuk menyelesaikan perang.

Pegawai pemberontak berkata serpihan dari peluru berpandu Tochka Ukraine yang ditembak jatuh pemisah telah menyebabkan lebih dua dozen maut dengan lebih ramai lagi cedera.

“Enam belas kematian direkodkan” kata kementerian kesihatan wilayah yang mengisytiharkan merdeka itu, menambah 23 orang lagi cedera.

Saluran Telegram pemisah rasmi mengedarkan foto dan video selepas itu, menunjukkan kereta yang terbakar, mayat berselerak di jalan, dan kerosakan pada bahagian luar kedai.

AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas jumlah kematian yang dilaporkan oleh pihak berkuasa di wilayah yang telah dikawal oleh pemberontak pro-Moscow sejak 2014.

Dalam temu bual dengan televisyen kerajaan Rusia, ketua Republik Rakyat Donetsk, Denis Pushilin, berkata roket yang ditembak jatuh telah menyebabkan kerosakan di kawasan perumahan dan mengulangi yang orang awam telah mati.

“Orang ramai sedang menunggu dalam barisan berhampiran ATM dan berdiri di perhentian bas,” katanya kepada rangkaian Rossiya 24.

“Terdapat kanak-kanak dalam kalangan yang maut,” tambah Pushilin, memberitahu jumlah mangsa akan lebih tinggi sekiranya roket itu tidak dipintas.

Laporan mengenai serangan itu datang ketika wakil Ukraine dan Rusia dijadualkan bertemu untuk rundingan pusingan keempat bagi menyelesaikan pertempuran sengit yang sudah lebih dua minggu. – AFP, 14 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen