Undian referendum Ukraine bermula


Pengundian referendum memberi peluang kepada penduduk Luhansk, Donetsk, Kherson dan Zaporizhzhia memilih sama ada mereka mahu menjadi sebahagian daripada Rusia. – Gambar EPA, 24 September, 2022.

PENGUNDIAN bagi referendum di empat wilayah Ukraine bermula Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

Pengundian hingga Selasa dijalankan di Luhansk, Donetsk, Kherson dan Zaporizhzhia, bagi memberi peluang kepada penduduk untuk memilih sama ada mereka mahu menjadi sebahagian daripada Rusia.

Undian dibuka dari 8 pagi (0500GMT) hingga 4 petang (1300GMT) di Luhansk, Zaporizhzhia dan Kherson, manakala waktu pengundian di Donetsk ditutup pada 8 malam (1700GMT).

Atas sebab keselamatan, pengundian secara peribadi hanya dibenarkan pada hari terakhir iaitu 27 September, manakala pada hari-hari lain undian dijalankan dalam komuniti serta dari pintu ke pintu, menurut laporan media tempatan

Luhansk dan Donetsk yang dikawal oleh puak pemisah, serta Kherson dan Zaporizhzhia, sebahagiannya dalam kawalan Rusia, mengumumkan mengenai referendum penuh kontroversi itu awal bulan ini.

Keputusan itu dikutuk secara meluas oleh masyarakat antarabangsa, dengan negara Eropah dan Amerika Syarikat menyifatkannya sebagai referendum “palsu” dan mengumumkan bahawa hasil undian itu tidak akan diiktiraf. – Bernama, 24 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen