Tentera Ukraine maut dalam pertempuran dekat sempadan Rusia


Polis Ukraine dan askar pengawal kebangsaan mengambil bahagian dalam latihan taktikal, di daerah Kherson, selatan Ukraine ketika Rusia terus menghantar tentera di sempadannya dengan negara Eropah timur itu. – Gambar EPA, 19 Februari 2022.

TENTERA Ukraine semalam melaporkan kematian pertama seorang askar selepas beberapa minggu menuduh pemberontak yang disokong Moscow meningkatkan serangan secara mendadak.

Perkembangan terbaharu itu menggandakan kebimbangan Ukraine mengenai kemungkinan pencerobohan Rusia akan berlaku pada bila-bila masa.

Pemerintah tentera bersama bagi timur Ukraine berkata, seorang askar menerima luka serpihan di zon konflik merentasi dua wilayah pemisah berhampiran sempadan Rusia.

Perkhidmatan kecemasan Ukraine pula berkata, dua kakitangannya cedera semasa gelombang serangan semalam.

Angkatan bersenjata berkata, pemberontak menggunakan peluru mortar berkaliber 82 dan 120 milimeter yang diharamkan di bawah perjanjian gencatan senjata sebelum ini, di pekan di seberang hadapan melalui wilayah timur Lugansk dan Donetsk.

Pejuang pemisah membedil tembakan artileri ke pusat penduduk dan meletakkan sistem artileri berhampiran kediaman, kata tentera Ukraine.

“Melalui cara ini, musuh kita cuba memaksa angkatan tentera membalas tembakan, kemudian menyalahkan kita kerana membedil orang awam,” katanya.

Katanya, tentera terus ‘menolak dan membendung pencerobohan bersenjata’ tanpa menyerang orang awam serta menuduh Rusia mengarahkan serangan dilancarkan sekutunya.

Moscow secara rasmi menafikan terbabit dalam konflik itu dan menyifatkannya sebagai urusan dalaman Ukraine.

Namun, pemantau badan keselamatan OSCE Eropah melaporkan penghantaran berterusan senjata Rusia merentasi sempadan sepanjang perang lapan tahun. – AFP, 19 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen