Ibu kanak-kanak diselamatkan di hutan Amazon bertahan 4 hari selepas kemalangan 


Pasukan penyelamat berjaya menemukan mereka dalam keadaan masih hidup setelah 40 hari hilang di hutan Amazon di Colombia.– Gambar Twitter Gustavo Petro, 12 Jun, 2023.

IBU kepada empat kanak-kanak Orang Asli yang diselamatkan selepas 40 hari hilang di hutan Colombia kekal hidup selama empat hari sebelum meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dalam nahas pesawat 1 Mei, kata suaminya.

Kanak-kanak Orang Asli Uitoto—berumur 13, sembilan, lima dan satu tahun—ditemui selamat pada Jumaat oleh pasukan penyelamat, setelah merayau bersendirian di hutan hujan Amazon sejak nahas sebuah pesawat kecil Cessna 206 yang mereka naiki bersama ibu mereka, juruterbang dan seorang lagi penumpang.

Ketiga-tiga orang dewasa maut dalam kemalangan itu, tetapi menurut Manuel Miller Ranoque, isterinya yang cedera bertahan seketika dengan ditemani anak-anak mereka di sebelahnya.

“Satu perkara yang (Lesly berusia 13 tahun) jelaskan kepada saya ialah, sebenarnya, ibunya masih hidup selama empat hari,” kata Ranoque kepada pemberita di sebelah hospital tentera di Bogota tempat kanak-kanak itu dirawat

“Sebelum meninggal dunia, ibu mereka memberitahu sesuatu seperti, ‘Kamu pergi dari sini. Kamu akan lihat ayah kamu, dan dia akan menunjukkan kepada kamu kasih sayang yang sama seperti yang saya tunjukkan’.”

Ibu kanak-kanak berkenaan, Magdalena Mucutuy merupakan pemimpin Orang Asli.

Pengetahuan kanak-kanak terbabit dan Orang Asli yang terlibat dalam pencarian bersama-sama tentera Colombia menyebabkan mereka akhirnya ditemui dalam keadaan hidup walaupun terdapat ancaman jaguar dan ular, dan hujan lebat tidak henti-henti yang menghalang mereka daripada mendengar panggilan daripada pasukan penyelamat.

“Kelangsungan hidup anak-anak adalah tanda pengetahuan dan hubungan dengan persekitaran semula jadi yang diajar bermula sejak kecil,” menurut Pertubuhan Kebangsaan Orang Asli Colombia. – AFP, 12 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen