PRN: Ahmad Faizal umum tidak bertanding di 6 negeri


Ahmad Faizal Azumu berkata disebabkan beliau berasal dari Perak, beliau hanya mahu berkhidmat di negeri kelahirannya itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2023.

TIMBALAN Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan tidak akan bertanding mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Meskipun baharu dilantik sebagai pengerusi Bersatu serta pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, beliau berkata ia bukanlah satu tiket dan tugasnya adalah membantu melicinkan perjalanan jentera parti menjelang PRN.

“Saya buat pengumuman hari ini walaupun saya dilantik memegang jawatankuasa ini untuk melicinkan jentera pilihan raya… saya buat pengakuan tidak akan bertanding… termasuk di Negeri Sembilan… Ini kerana saya berasal dari Perak dan saya berhasrat memberi khidmat di tempat sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan pimpinan Bersatu negeri dan Badan Perhubungan PN negeri yang pertama di Seremban hari ini selepas mengambil alih jawatan berkenaan daripada bekas ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Syith.

Mengenai pembahagian kerusi Bersatu di Negeri Sembilan, Ahmad Faizal yang juga pengerusi jawatankuasa kerusi mewakili Bersatu berkata, ia selesai dilaksanakan dan sedang menunggu saringan oleh pucuk pimpinan tertinggi yang akan diputuskan kemudian.

Selain Negeri Sembilan, negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang. – Bernama, 4 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen