Dakwaan Perikatan rancang guling kerajaan Anwar tidak berasas, kata Faizal


Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata matlamat utama PN kini adalah untuk memberi tumpuan kepada enam PRN akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2023.

DAKWAAN Perikatan Nasional (PN) merancang untuk menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah tidak berasas kerana tuduhan itu tidak benar, kata Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Faizal berkata matlamat utama PN kini adalah untuk memberi tumpuan kepada enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang yang akan diadakan selepas Jun.

“Sejujurnya, saya tidak mendengar rancangan sedemikian. (Dakwaan itu) tidak berasas.

“Saya berhubung dengan presiden parti saya (Muhyiddin Yassin) setiap hari. Beliau memberitahu kami untuk bekerja di lapangan dan menggerakkan jentera kami (untuk menghadapi PRN),” katanya kepada Malaysiakini.

Faizal mengulas laporan portal berita Vibes yang mendakwa terdapat cubaan menyingkirkan Anwar, lima bulan selepas pembentukan kerajaan perpaduan.

Memetik sumber, Vibes melaporkan terdapat mereka dalam lingkungan politik yang berhasrat untuk menggulingkan perdana menteri yang boleh mengakibatkan pilihan raya kecil.

Faizal berkata Muhyiddin tidak menyebut untuk menjatuhkan kerajaan Anwar.

“Saya tidak mendengar sebarang rundingan (mengenai perkara ini) dan tidak ada perbincangan dengan mana-mana ahli parlimen dari blok kerajaan, tiada perbincangan dengan ahli parlimen Barisan Nasional juga,” katanya.

Menurut laporan Vibes, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dijangka membiayai langkah itu kerana akaun Bersatu dibekukan.

Faizal berkata beliau baru-baru ini menghadiri majlis berbuka puasa bersama Dr Mahathir dan tiada ceramah mengenai politik.

“Kami tidak bercakap politik. Kami hanya bercakap mengenai perhimpunan ‘proklamasi Melayu’.

“Dia baik-baik saja, tetapi sudah menunjukkan tanda-tanda usia. Kami mendoakan kesihatannya yang baik. Setahu saya, Daim tidak begitu sihat. Dia berdiam diri dan tidak menerima sebarang pelawat,” katanya.

Anwar kini mendapat sokongan 148 ahli Parlimen manakala PN mempunyai baki 74 ahli Parlimen. – 24 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen