Perwakilan Bersatu sebulat suara tolak Muhyiddin letak jawatan


Usul menolak Presiden Muhyiddin Yassin meletak jawatan yang dibawa oleh Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu disokong sebulat suara kira-kira 1,041 perwakilan yang hadir di Menara PGRM pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Mac, 2023.

PERWAKILAN di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) sebulat suara menyokong usul menolak Presiden Muhyiddin Yassin meletak jawatan selepas didakwa atas kesalahan salah guna kuasa dan rasuah minggu lalu.

Usul yang dibawa Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu itu disokong sebulat suara kira-kira 1,041 perwakilan yang hadir di Menara PGRM pagi tadi.

“Segala pertuduhan terhadap presiden yang menjadi tunjang kekuatan parti dan anak bangsa ini bersifat luar tabii dan tak masuk akal bertujuan melemahkan struktur dan integriti parti.

“Dalam dewan ini saya bentang usul menolak perletakan jawatan Muhyiddin sebagai presiden Bersatu.

“Kami para perwakilan yang bersidang dalam PAT Bersatu 2022 pada 12 Mac bagi mewakili seluruh suara ahli akar umbi dari seluruh pelosok negara menzahirkan taat setia tak berbelah bahagi kepada Muhyiddin dan menyokong penuh Muhyiddin kekal memimpin bersatu,” katanya.

Perwakilan yang hadir turut bangun tanda menyokong usul tersebutsambil melaungkan slogan Hidup Tan Sri, berulang kali. – 12 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen