Pendakwaan terhadap Muhyiddin buat Bersatu lebih kukuh, kata timbalan presiden


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata pendakwaan terhadap Muhyiddin Yassin di mahkamah hari ini menjadikan ahli akar umbi dan pemimpin parti itu lebih kuat dan bersatu-padu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2023.

PENDAKWAAN terhadap Muhyiddin Yassin di mahkamah hari ini menjadikan ahli akar umbi dan pemimpin Bersatu lebih kuat dan bersatu-padu, kata timbalan presidennya Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata, tuduhan penyelewengan itu juga menjadikan akar umbi lebih bersemangat dalam suasana Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) yang bermula hari ini hingga Ahad.

“Ia mengubah mood perhimpunan. Pada pendapat saya, dengan apa yang yang berlaku kepada presiden kami, ia menyatukan semua orang dalam Bersatu.

“Ahli di semua peringkat menjadi bertambah bersemangat apabila melihat negarawan, pemimpin yang besar jasanya diperlakukan sedemikian rupa.

“Semangat untuk kita berhimpun dalam perhimpunan agung sedikit berubah kerana marah tetapi bawa hikmah kita semangat bersatu padu menentang kezaliman hari ini,” kata Ahmad Faizal.

Ahmad Faizal juga yakin pertuduhan terhadap Muhyiddin tidak akan memecahbelahkan ahli dan akar umbi Bersatu.

“Belum dengar lagi secara jujurnya. Tak nampak perpecahan kalangan ahli dan pemimpin semua peringkat, yang ada hanyalah sokongan dan taat setia kepada presiden kami bertambah kuat.

“Jika sebelum ini ada kerenggangan tetapi apa yang berlaku telah rapatkan hubungan bukan sahaja pemimpin atasan tapi juga ahli semua peringkat,” kata Ahmad Faizal lagi.

Malah, beliau turut menjangkakan perwakilan Bersatu akan melahirkan taat setia kepada Muhyiddin, dalam PAT mereka. Sokongan perwakilan dan ahli akar umbi begitu utuh.

“Saya jangkakan pada perhimpunan agung, Ahad nanti mereka akan zahirkan taat setia dan sokongan tak berbelah bahagi seluruh ahli bersatu kepada presiden,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas persidangan Sayap Srikandi Bersatu, di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), petang ini.

Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh hari ini mengaku tidak bersalah bagi empat tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM232.5 juta.

Beliau dituduh menerima rasuah dari empat sumber berkaitan program Jana Wibawa yang dicetuskan sewaktu menjadi perdana menteri.

Muhyiddin didakwa menerima RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta dalam bentuk suapan kepada parti Bersatu sebagai sekutunya.

Bagi empat tuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan presiden parti Bersatu antara tempoh 1 Mac, 2020 hingga 20 Ogos, 2021.

Muhyiddin, 76, didakwa berbuat demikian bagi mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu.

Beliau juga dijangka berdepan pertuduhan baharu di Mahkamah Shah Alam pada Isnin depan. – 10 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen