Jangan jadikan ketidakstabilan politik alasan prestasi buruk Sukan SEA, kata Faizal 


Bekas menteri belia dan sukan Ahmad Faizal Azumu membidas kenyataan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berhubung prestasi Sukan SEA.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2023.

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh tidak sepatutnya menjadikan ketidakstabilan politik sebagai alasan atas prestasi buruk Malaysia dalam Sukan SEA yang baru berakhir, kata Ahmad Faizal Azumu.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata beliau tidak bersetuju ketidakstabilan politik dijadikan alasan (untuk keputusan yang tidak baik).

“Saya berharap YB menteri belia dan sukan berhenti menggunakan alasan yang sama pada setiap masa.

“Kami akan sentiasa menyokong segala tindakan yang membolehkan prestasi para atlet negara meningkat sambil mengembangkan industri sukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu hari ini Yeoh berkata ketidakstabilan politik dalam tempoh empat tahun antara punca prestasi buruk Malaysia pada Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata dalam tempoh itu, Malaysia mempunyai tiga perdana menteri dan tiga menteri belia dan sukan di bawah pentadbiran berbeza.

“Setiap kali kita ada perubahan seperti ini, apabila ada elaun tertangguh dan gaji jurulatih tertangguh kerana tiada bajet, ini memberi kesan kepada latihan mereka (atlet) kerana ada yang perlu ke luar negara.

“Keadaan politik di Malaysia juga salah satu faktor yang memainkan peranan,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu Faizal turut menolak dakwaan Yeoh bahawa program Podium tidak diteruskan kerana ketidakstabilan politik.

“Saya menyanggah kenyataan tersebut dan ingin membuat penjelasan.

“Belanjawan Negara 2022 dibentangkan sejurus selepas saya dilantik sebagai menteri belia dan sukan. Ketika itu, tiada sebarang dana diperuntukkan untuk program Podium.

“Malah, butiran program Podium tidak disebut dalam bajet tahun 2022.”

Timbalan presiden Bersatu itu bagaimanapun berkata bajet program Podium dikembalikan semula pada awal 2022.

“Ini selepas Kementerian Belia dan Sukan membawa kertas kabinet untuk memohon dana tersebut dengan segera.

“Sebanyak RM240 juta telah diluluskan untuk tempoh 2022-2025.”

Malaysia gagal mencapai sasaran 40 pingat emas Sukan SEA. Ia menduduki tempat ketujuh keseluruhan dalam kejohanan melibatkan 11 negara dengan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.– 25 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen