Ekonomi Malaysia semakin malap, rakyat perlu dibantu


BANK Negara Malaysia perlu semak kembali kadar dasar semalaman (OPR) ke 2.75% untuk mengurangkan beban isi rumah dan perniagaan kecil. Kerajaan juga boleh memperkenalkan bajet tambahan untuk program yang dapat mengatasi kemurungan ekonomi yang dijangka akan berterusan.

Kenaikan kadar OPR tidak memberi kesan kepada aliran tunai dalam pasaran untuk membendung perbelanjaan dan mengawal inflasi. Beberapa faktor menyumbang kepada keberkesanan ini seperti faktor pinjaman alternatif yang amat mudah dipohon dan diluluskan di atas talian juga memainkan peranan.

Perkhidmatan ‘ceti alaf baru’ ini seperti SPay Later Shopee, Grab Pay Later, Lazada LazPay Later Credit, Touch & Go-Go Pinjam dan lain-lain. Ini tidak termasuk khidmat ‘Ah long’ yang sentiasa agresif mencari pelanggan.

Kadar faedah pinjaman melalui aplikasi ini amat tinggi dengan kadar faedah sehingga 36% setahun dan lebih tinggi daripada kadar faedah bank tetapi rakyat akan terus meminjam dan terpaksa meminjam kerana mereka terbeban dengan kenaikan harga barang.

Hasrat kerajaan untuk membendung permintaan melalui kenaikan kadar OPR bagi menyeimbang harga barangan tidak akan berjaya. Harga barangan terutamanya keperluan asas akan terus meningkat.

Kerajaan terlalu yakin dengan pertumbuhan ekonomi 5.6% bagi suku pertama 2023 dan kenaikan kadar OPR kepada 3.0% konsisten dengan data yang menunjukkan prestasi ekonomi yang kukuh. Namun kerajaan gagal mengambil kira laporan Jabatan Statistik yang menyatakan kemerosotan eksport sehingga 17.4% bulan April, tahun ke tahun.

Kemerosotan eksport ini menjadi penunjuk dan indikator kepada ekonomi Malaysia yang akan terus merudum selaras dengan hasil pendapatan komoditi yang menurun dan prospek pertumbuhan global yang dijangka lemah sepanjang tahun 2023.

Kita mempunyai enam kementerian yang mengawal selia ekonomi negara - Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Ekonomi.

Kementerian ini diketuai sendiri oleh perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri kanan. Yang nyata, masalah kenaikan kos sara hidup, matawang ringgit yang semakin lemah dan pembangunan ekonomi masih kritikal dan menjejas kelestarian hidup rakyat dan perusahaan kecil.

Dengan kenaikan kadar OPR, pasaran saham semakin lembap, matawang ringgit semakin merosot dan kos sara hidup masih meningkat khususnya sektor makanan. Jumlah kebankrapan masih kekal tinggi walaupun kerajaan membuat pindaan akta untuk mengurangkan jumlah kebankrapan. Golongan M40 semakin miskin dan bergelut untuk membeli makanan, membayar sewa dan hutang.

Kerajaan tidak memerlukan sebegitu banyak kementerian untuk menyelesaikan kemelut ekonomi tetapi memerlukan polisi radikal yang boleh memandu kita keluar daripada krisis ekonomi. Solusi ekonomi memerlukan pemikiran di luar kotak yang kreatif. Sebagai contoh, ramai yang tidak menyokong tindakan Dr Mahathir untuk tambatan ringgit semasa krisis kewangan 1997 tetapi ia berjaya memulihkan ekonomi Malaysia.

Kebanyakan isi rumah dan perniagaan kecil kehausan simpanan yang digunakan untuk bertahan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 dan mereka masih belum pulih. Sebahagian besar rakyat dan juga perniagaan kecil tidak mungkin dapat bertahan dengan kenaikan kos sara hidup yang berterusan. Sebilangan besar kelas pertengahan juga menghadapi masalah untuk memenuhi keperluan belanjawan bulanan mereka.

Malaysia perlu menyemak semula indikator atau aras penunjuk kemiskinan. Kadar Kemiskinan dalam negara semakin meningkat dan ramai yang tercicir daripada data yang direkod melalui aras penunjuk sedia ada. Dalam erti kata lain, aras penunjuk sedia ada gagal merekodkan mereka yang tergolong dalam kemiskinan dan golongan ini mungkin tidak mendapat apa-apa bantuan.

Ini bermakna, lebih ramai rakyat yang sebenarnya terkesan dan terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan kenaikan OPR.

Data yang tepat dan realistik amat penting kerana data ini diguna sebagai analisis Bank Negara dalam menentukan kadar pengurusan monetari serta polisi dan dasar berkaitan.

Kami menggesa kerajaan untuk menyemak kembali kadar OPR dan memperkenalkan dasar ekonomi yang bukan sahaja mesra rakyat dan perniagaan tetapi berupaya memacu ekonomi negara dengan dasar yang mampu membuka banyak peluang baharu kepada usahawan tempatan. – 31 Mei, 2023.

* Armin Baniaz Pahamin, presiden Gerakan Ekonomi Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen