Zuraida gesa kerajaan beri moratorium untuk semua pinjaman bank


Ravin Palanisamy

Zuraida Kamaruddin berkata kenaikan OPR kali keempat tahun ini, membebankan individu dan perniagaan yang masih dalam pemulihan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2022.

PUTRAJAYA perlu memberikan moratorium menyeluruh untuk semua pinjaman bank berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR), kata Zuraida Kamaruddin.

Presiden lantikan Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkata kenaikan OPR, kali keempat tahun ini, membebankan individu dan perniagaan, yang didakwanya baru pulih apabila negara mula beralih ke tahap endemik virus Covid-19.

“Walaupun kami memahami kenaikan itu sebagai tindak balas kepada inflasi yang sejajar dengan apa dilakukan oleh bank pusat di negara lain, keputusan itu juga menyebabkan persekitaran lebih mencabar untuk perniagaan beroperasi,” kata Zuraida yang juga menteri sementara perusahaan perladangan dan komoditi.

“Pemimpin PBM, termasuk saya sendiri, menerima banyak aduan daripada sektor korporat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Ramai yang masih menghadapi masalah aliran tunai meskipun negara sudah mula beralih ke peringkat endemik mereka sejak 1 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengumuman BNM pada 3 November mengenai kenaikan OPR adalah kenaikan keempat berturut-turut negara sejak Mei tahun ini, satu langkah yang dijelaskan oleh jawatankuasa dasar monetari bank pusat itu sebagai pelarasan selanjutnya kepada pelonggaran monetari.

Bank pusat itu berkata jawatankuasa juga memutuskan pada mesyuarat terakhir tahun itu yang kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3% dan 2.5%.

Walaupun semua sektor ekonomi kini dibuka semula, Zuraida mendakwa Malaysia masih jauh daripada paras pra-pandemik.

“Perang di Ukraine, gangguan dalam rantaian bekalan global dan perubahan iklim hanya memburukkan lagi keadaan. Ini tidak dapat dielakkan memandangkan Malaysia adalah sebuah negara perdagangan global.

“Kami juga menerima maklum balas banyak perniagaan menstruktur semula pinjaman mereka dengan andaian ekonomi akan pulih.

“Tetapi ini nampaknya tidak berlaku kerana Bank Dunia baru-baru ini menyemak semula sasaran pertumbuhan Malaysia 2023 daripada 4.5% kepada 4.2%.

“Inilah sebabnya kami percaya pemberian moratorium ini boleh menjadi talian hayat kritikal untuk perniagaan, terutamanya di masa yang mencabar seperti sekarang,” katanya.

Zuraida berkata ahli ekonomi mengesahkan kejayaan rancangan moratorium Malaysia pada masa lalu dan mendakwa yakin ia akan memberi impak yang sama sekarang.

“Bank-bank Malaysia telah terbukti berdaya tahan, dan ada yang memperoleh keuntungan yang lumayan walaupun pada kemuncak wabak Covid-19. Saya percaya bank-bank mampu menghadapi sebarang kejutan yang mungkin timbul akibat pemberian moratorium tersebut,” tambahnya. – 9 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen