Pasaran hartanah kukuh walau OPR naik, kata pemaju


Presiden Rehda NK Tong berkata keadaan kesan dorongan di tengah-tengah persekitaran inflasi terutamanya selepas sektor hartanah dibuka selepas tiga tahun pandemik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2023.

PASARAN hartanah Malaysia kekal kukuh walaupun kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.0%, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Malaysia.

Presiden Rehda NK Tong berkata keadaan kesan dorongan di tengah-tengah persekitaran inflasi terutamanya selepas sektor hartanah dibuka selepas tiga tahun pandemik.

“Bagaimanapun, saya fikir orang ramai menyedari hartanah adalah cara terbaik bagi melindungi mereka daripada inflasi. Jadi saya rasa pelaburan dalam hartanah masih lagi menguntungkan.

“Kami melakukan tinjauan setiap enam bulan dan keputusan yang keluar pada Februari untuk akhir 2022 menunjukkan kebanyakan pemaju lebih optimistik mengenai separuh kedua 2023,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Rehda di Petaling Jaya hari ini.

Tong ketika mengulas mengenai harga simen bersubsidi berkata langkah kerajaan mengurangkan harga simen bagi pemaju yang membina rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah merupakan inisiatif terpuji dalam menggalakkan pembeli memiliki rumah pertama mereka.

Pemaju giat membina rumah mampu milik selama hampir 50 tahun dengan majoriti daripada perumahan itu dibina oleh ahli Rehda.

Rehda Malaysia berpandangan sudah tiba masanya untuk pemain industri berkaitan menawarkan inisiatif dalam usaha menjadikan perumahan lebih mampu milik.

“Mekanisme itu masih perlu diusahakan. Pemaju ingin tahu berapa banyak yang sebenarnya dapat kita jimat daripada diskaun yang diberikan kepada simen?

“Adakah ia berbeza-beza bergantung kepada sama ada ia adalah hartanah strata disebabkan terdapat lebih banyak konkrit dan simen yang terbabit berbanding harta tanah,” katanya lagi.

Pada 18 April lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan inisiatif itu berkata langkah itu akan memberi manfaat kepada kumpulan berpendapatan 40% terendah (B40) serta kumpulan berpendapatan 40 pertengahan (M40) kerana ia akan menyaksikan pengurangan maksimum RM5,000 dalam harga rumah bergantung kepada jenis dan harga rumah. – Bernama, 13 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen