OPR dijangka naik 25 mata asas lagi minggu ini, kata Moody's


Bank Negara Malaysia akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 7-8 September ini yang mana antara hasilnya dijangkakan peningkatan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2022.

BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.5 peratus pada minggu ini, kenaikan kadar ketiga berturut-turut, bertujuan untuk membantu mengurangkan inflasi negara dengan pemulihan ekonomi yang kukuh, menurut Moody’s Analytics.

Katanya Indeks Harga Pengguna keseluruhan Malaysia meningkat sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun pada Julai, peningkatan mata peratusan penuh daripada bulan sebelumnya.

“Sementara itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia jauh melebihi jangkaan, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan selepas sempadan dibuka semula sepenuhnya pada April,” katanya dalam kenyataan.

Di peringkat luaran, menaikkan Kadar Dasar Semalaman akan meningkatkan ringgit, yang telah merosot berbanding dolar AS dalam persekitaran kenaikan kadar yang agresif oleh Rizab Persekutuan AS, katanya.

Bank pusat dijadualkan untuk mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bagi September pada 7-8 Sept, 2022. – Bernama, 5 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen