Uggah perjelas penggunaan jet ke Minggu Kraf London 


Desmond Davidson

Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah berkata keselamatan pemimpin negeri ini serta pegawai kerajaan dalam perjalanan jauh ke luar negara adalah amat penting.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2023.

FAKTOR keselamatan ketika melancong ke luar negara, serta fleksibiliti dalam pengaturan perjalanan mungkin memerlukan kerajaan negeri menyewa jet eksekutif swasta untuk menerbangkan pemimpin negeri atau pegawai kanan kerajaan, persidangan DUN Sarawak diberitahu hari ini.

Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah berkata keselamatan pemimpin negeri ini serta pegawai kerajaan dalam perjalanan jauh ke luar negara adalah amat penting dan tidak boleh diukur dengan cara kewangan.

Beliau menjawab soalan Adun Pending daripada DAP Violet Yong yang mempersoalkan penggunaan pesawat eksekutif perniagaan Airbus 319 untuk menerbangkan Premier Abang Johari Openg dan rombongannya ke United Kingdom untuk menghadiri Minggu Kraf London minggu lepas.

“Kami mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk memastikan perjalanan selamat dan terjamin, terutamanya untuk perjalanan ke luar negara. Oleh itu, menggunakan jet peribadi adalah pilihan berdaya maju yang boleh memberikan tahap keselamatan yang diperlukan,” katanya.

Uggah juga menjelaskan jenis pesawat yang digunakan dalam perjalanan sedemikian tidak diputuskan oleh kerajaan negeri, sambil menambah keputusan itu dibuat Hornbill Skyways.

Beliau berkata kerajaan negeri memeterai kontrak dengan syarikat sewaan pesawat milik kerajaan negeri untuk penyediaan perkhidmatan pesawat bagi kerajaan Sarawak bagi kegunaan gabenor, perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri kabinet.

“Terpulang kepada Hornbill Skyways menentukan jenis pesawat yang paling sesuai untuk digunakan dalam penerbangan.”

Yong, yang mempersoalkan keperluan untuk “urusan perjalanan yang berlebihan”, berkata jutaan ringgit yang digunakan untuk pesawat Airbus 319 ke UK boleh digunakan lebih baik untuk rakyat.

Beliau berkata berdasarkan kajiannya, purata kadar sewa setiap jam bagi jet eksekutif Airbus 319 adalah sekitar AS$18,600 (RM85,290).

Selain daripada perjalanan ini, Yong juga mendakwa kerajaan negeri telah membayar “berjuta-juta ringgit setiap tahun untuk perjalanan jet peribadi” untuk premier, timbalan premier, menteri dan ahli keluarga mereka, “dengan perbelanjaan yang masih tidak didedahkan kepada awam”.

“Walaupun kerajaan Sarawak mempunyai kekayaan yang besar, wang pembayar cukai tidak boleh dibazirkan begitu sahaja. Marilah kita memperuntukkan sumber ini dengan cara yang benar-benar memenuhi keperluan rakyat Sarawak,” katanya. – 24 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen