Tiada varian Covid XXB dikesan di Sarawak, kata Uggah


Desmond Davidson

VARIAN Covid XXB, yang dipercayai pakar sebagai varian Covid-19 paling menular masih belum dikesan di Sarawak, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Douglas Uggah hari ini.

Varian tersebut dikatakan mampu mengelak sel imun dan boleh memasuki tubuh manusia dengan lebih mudah bagi menyebabkan jangkitan.

Uggah yang juga timbalan premier Sarawak mendedahkan laporan terkini pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak, Dr David Perera berkata daripada 463 sampel kes positif yang dijujukan antara 14 Julai dan 27 September, varian yang dikesan adalah kesemuanya varian yang dibimbangi (VOC) Omicron B.1.1.529.

“Daripada 463 sampel, 402 adalah varian BA.5, tiga BA.4.1 dan 58 BA.2,” katanya.

Daripada tiga kes BA.4.1, dua dikesan di Kuching dan satu di Sibu, katanya.

Beliau juga berkata daripada 58 varian BA.2 yang dikesan, tiga adalah sub keturunan, varian BA.2.75 dengan satu kes dikesan di Kuching dan dua lagi di Sibu.

“Oleh itu, sejak laporan pengawasan terakhir kami pada Julai, Omicron BA.5 kini telah muncul sebagai varian SARs-CoV-2 paling dominan yang beredar di Sarawak.

“Ia menyumbang kira-kira 97% daripada kes positif yang dikesan pada September,” kata Uggah.

Institut itu telah ditugaskan untuk menjejaki varian SARS-CoV-2 di Sarawak sebagai sebahagian daripada program pengawasan kebangsaan.

Dalam pada itu, Dr. Perera menasihatkan orang ramai supaya peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan di negeri ini dan mendapatkan suntikan penggalak jika belum berbuat demikian. – 1 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen