Sarawak perketat peraturan masuk bimbang penularan viran Delta


Desmond Davidson

Langkah mengetatkan peraturan kemasukan ini susulan kebimbangan terhadap varian Delta Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai 2021.

BERMULA hari ini rakyat Sarawak yang merancang untuk pulang ke negeri ini perlu menunjukkan bukti bahawa mereka negatif Covid-19 – mennggunakan e-HDF (borang kebenaran borang perisytiharan kesihatan) – sebelum permohonan masuk diluluskan.

Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah berkata, langkah mengetatkan peraturan kemasukan ini susulan kebimbangan terhadap varian Delta Covid-19.

Douglas berkata, mereka wajib menjalani ujian RT-PCR Covid-19 tiga hari sebelum tarikh pelepasan.

Hasil ujian mestilah negatif dan dilampirkan dalam aplikasi enterSarawak.

 Sebelum ini, hanya bukan rakyat Sarawak yang perlu menunjukkan bukti tersebut.

Uggah, yang mengetuai jawatankuasa pengurusan bencana negeri, berkata langkah mengetatkan pintu sempadan itu adalah untuk “melindungi rakyat Sarawak dari varian Delta Covid-19”.

“Kami berdoa agar varian Delta tidak datang ke negeri ini,” tambahnya.

Varian Delta yang dianggap cukup berbahaya dengan kadar kebolehjangkitan tinggi masih belum dikesan di Sarawak.

Kementerian Kesihatan hari ini berkata terdapat satu varian membimbangkan (VOC) dan 13 varian diwaspadai (VOI) yang dikesan di negeri ini antara 23 dan 30 Jun.

Mereka yang pulang dari Labuan juga wajib mendapatkan kebenaran daripada jawatankuasa bencana.

Pada masa ini, terdapat larangan masuk bagi mereka yang tinggal di pulau ini selama lebih 21 hari. – 2 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen