Sarawak tawar vaksin AstraZeneca secara sukarela


Tawaran vaksin AstraZeneca di Sarawak terhad kepada 'siapa cepat dia dapat', kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2021.

SARAWAK memutuskan vaksin AstraZeneca akan ditawar secara sukarela kepada penduduk di negeri itu, terhad kepada ‘siapa cepat dia dapat’, kata Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah.

Beliau berkata keputusan dibuat selepas mendapat saranan Kumpulan Penasihat Vaksin Covid-19 Sarawak (SCoVAG).

“Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Sarawak memutuskan untuk membenarkan penggunaan vaksin AstraZeneca Covid-19 bagi melengkapkan pelan vaksinasi Covid-19 besar-besaran di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata SCoVAG pada mulanya mengesyorkan AstraZeneca diberi hanya kepada warga emas 60 tahun ke atas di kawasan bandar, berdasarkan kajian saintifik bahawa kes sampingan serius ke atas golongan itu sangat rendah.

Sekitar 8,000 orang membatalkan pendaftaran vaksinasi dalam talian di Sarawak selepas Putrajaya sebelum ini umum vaksin AstraZeneca akan digunakan dalam program vaksinasi Covid-19 seluruh negara, tambahnya.

“Terdapat juga keraguan vaksin yang meningkat, dengan beberapa orang tidak hadir janji temu vaksinasi mereka.”

Susulan itu kata Uggah, CITF Sarawak memilih untuk tidak menggunakan vaksin AstraZeneca.

“Kerajaan Sarawak tidak mahu Program Vaksinasi Covid-19 di Sarawak terganggu oleh keraguan akibat penggunaan vaksin AstraZeneca,” katanya.

Tinjauan dalam talian di negeri itu pada 4 Mei juga menunjukkan 69.4% daripada 1,037 responden menyokong penduduk Sarawak diberi pilihan untuk menerima vaksin AstraZeneca.

Manakala 52.9% daripada 1,040 responden pula mahu disuntik vaksin AstraZeneca.

“Melihat kepada perkembangan ini dan kesungguhan rakyat Sarawak untuk memilih vaksin AstraZeneca, CITF Sarawak telah bersetuju untuk menjadikan vaksin ini digunakan di Sarwak secara sukarela dengan ‘siapa cepat, dia dapat’ menerusi janji temu,” kata Uggah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Dr Sim Kui Hian sebelum ini berkata Sarawak tidak akan menggunakan vaksin AstraZeneca, meskipun ditawarkan oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga penasihat JPBNS berkata mereka yang mahu menggunakan vaksin itu boleh mendapatkannya dari tempat lain.

“Bagi yang mahu disuntik vaksin AstraZeneca, mereka boleh mendapatkannya di pusat vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur. Bukan di Sarawak,” katanya dalam catatan di Facebook pada 29 April lalu. – 18 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen