Gegak gempita Cambridge Analytica tak jadi isu PRU14, kata penganalisis


Looi Sue-Chern

Walaupun CA dikatakan terlibat dalam kempen BN di Kedah pada 2013 dan kini dikaitkan dengan bekas Menteri Besar Mukhriz Mahathir yang sekarang bersama PH, isu ini tidak akan termakan oleh pengundi luar bandar, yang sokongan mereka sangat diperlukan oleh kedua-dua parti. – Gambar EPA, 21 Mac, 2018.

KONTROVERSI di seluruh dunia melibatkan firma data dan perunding politik, Cambridge Analytica (CA) serta hubungannya dengan Barisan Nasional (BN) serta pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak akan ada kesan besar dalam pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis.

Walaupun CA dikatakan terlibat dalam kempen BN di Kedah pada 2013 dan kini dikaitkan dengan bekas Menteri Besar Mukhriz Mahathir yang sekarang bersama PH, isu ini tidak akan termakan oleh pengundi luar bandar, yang sokongan mereka sangat diperlukan oleh kedua-dua parti.

Isu ini hanya akan jadi modal politik untuk kedua-dua belah pihak peluang saling mengkritik, kata Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia. Lebih daripada itu, isu ini hanyalah sesuatu yang sudah berlaku dan bukannya isu sekarang, katanya.

Azizuddin, yang mengkaji politik Kedah, malah ragu apakah CA benar-benar terlibat dalam pilihan raya umum di negeri itu pada 2013.

Ini kerana kaedah firma itu yang menggunakan data dan profil pengguna media sosial untuk merangka mesej kempen tidak relevan dengan negeri seperti Kedah, katanya.

“Kaedah ini tidak makan di Kedah, negeri yang hampir keseluruhannya luar bandar. Data pengguna Facebook tidak membantu.

“Tidak mungkin ada kesan signifikan kepada pengundi Kedah, tidak cukup untuk memberikan kemenangan kepada BN. BN menggunakan kaedah lain untuk meraih undi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Azizuddin, kaedah CA mungkin lebih berkesan untuk pengundi bandar, tetapi kerusi bandar di Kedah seperti Alor Setar dan Sungai Petani dimenangi oleh pembangkang.

“Saya tidak yakin CA betul-betul terlibat dalam pilihan raya di Kedah,” katanya.

CA, sebuah firma UK, dituduh menggunakan data yang dituai dari Facebook secara salah pada awal 2014 untuk mengenal pasti pengundi dan mempengaruhi mereka dengan kempen bersasaran semasa pemilihan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Di laman webnya, ia turut menyenaraikan kerja-kerjanya “menyokong Barisan Nasional di Kedah” yang membawa kepada kejayaan BN menumbangkan Pakatan Rakyat di negeri itu pada 2013.

Pengarah urusan CA Mark Turnbull juga dirakam oleh wartawan Channel 4 yang menyamar berkata firmanya menjalankan kerja untuk pilihan raya di beberapa negara termasuk Malaysia.

Tidak jejas pembangkang

Ada kebimbangan dengan wujudnya CA di Malaysia BN mungkin menggunakan firma yang terlibat mencuri maklumat orang ramai, apatah lagi selepas CEOnya Alexander Nix, yang kini digantung, mendedahkan pihaknya sedia melakukan amalan tidak beretika semasa pilihan raya.

Mukhriz, yang kini timbalan presiden Bersatu, menafikan tahu menahu tentang penglibatan CA dalam pilihan raya semasa beliau jadi pengarah pilihan raya Kedah pada 2013. Beliau jadi menteri besar selepas BN memenangi negeri itu. 

Mukhriz semalam dua kali menafikan penglibatannya dengan CA, kali kedua selepas Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan BN atau Putrajaya tidak berurusan dengan firma itu sebaliknya adalah Mukhriz.

Bagaimanapun penganalisis Asrul Hadi Abdullah Sani dari BowerGroupAsia berkata kontroversi ini boleh menjejaskan sedikit kredibiliti Pakatan Harapan dan Bersatu tetapi tidak memberikan kesan besar.

“Walaupun pendedahan Channel 4 mengejutkan, saya tidak fikir kontroversi ini mempengaruhi pengundi di kawasan luar bandar yang utama.

“Ia mungkin ada kesan pada kredibiliti PH berhubung ketelusan pilihan raya kerana pembangkang akan menurunkan calon dari badan masyarakat yang sebelum ini kritikal semasa pilihan raya sebelum ini.

“Tetapi kesannya mungkin hanya pada Bersatu saja. Saya tidak fikir isu ini akan menjejaskan sokongan dasar pembangkang,” kata perunding hal ehwal kerajaan dan dasar awam itu.

Sementara itu, pengarah eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata PH patut mengambil sikap berhubung penggunaan perunding asing dalam merangka kempen pilihan raya.

“Ini isu serius. Adakah PH setuju dengan penglibatan firma perunding asing dalam pilihan raya,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Hisommudin juga berkata Putrajaya perlu menjelaskan peranan CA, apakah benar firma itu terlibat semasa PRU13 dan apakah “campur tangan dalam politik domestik” menjejaskan keselamatan negara.

“Mengaitkannya dengan bekas pemimpin kerajaan yang sekarang dalam pembangkang boleh dilihat mahu mengalih perhatian daripada menjawab persoalan sebenar.” – 21 Mac, 2018.

Apa yang kita tahu tentang isu Cambridge Analytica


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen