Mukhriz dapat nasihat firma induk Cambridge Analytica, kata BN


Satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri menyebut, firma berkenaan bagaimanapun mengesahkan bahawa ia memberi khidmat nasihat kepada Mukhriz Mahathir semasa pilihan raya umum 2013. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2017.

PEJABAT Perdana Menteri hari ini menafikan bahawa Barisan Nasional mengupah firma data raya dan perunding politik Cambridge Analytica untuk menjalankan kempen pilihan rayanya.

Satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri menyebut, firma berkenaan bagaimanapun mengesahkan bahawa ia memberi khidmat nasihat kepada Mukhriz Mahathir semasa pilihan raya umum 2013.

Bekas menteri besar Kedah itu masih bersama parti BN pada waktu itu dan merupakan timbalan menteri di kementerian perdagangan antarabangsa dan industri.

“Cambridge Analytica atau syarikat induknya SCL Group tidak pernah – kini atau pada masa lalu – dikontrak, digaji atau dibayar dengan apa cara sekalipun oleh Barisan Nasional, Pejabat Perdana Menteri atau mana-mana bahgian kerajaan Malaysia.

“Bagaimanapun, wakil SCL Group (Malaysia) mengesahkan hari ini keprada kerajaan bahawa khidmat nasihat Cambridge Analytica mengenai pilihan raya umum 2013 disediakan secara peribadi untuk Mukhriz Mahathir, timbalan presiden PPBM (Bersatu).

“Wakil SCL juga mengesahkan bahawa beliau melaporkan secara terus kepada Mukhriz Mahathir, bukan kepada BN atau kerajaan,” kenyataan itu dipetik.

Seorang pengarah SCL Group, Azrin Zizal pada Mac tahun lalu dilaporkan menafikan bahawa firma tersebut diupah oleh BN untuk pilihan raya umum ke-14.

Mukhriz ketika dihubungi The Malaysian Insight petang ini mengesahkan bahawa Azrin berkhidmat dengannya sebagai pegawai media ketika beliau masih menjadi timbalan menteri Umno.

Bagaimanapun, Azrin tidak berkhidmat dengannya ketika beliau menjadi menteri besar kedah antara 2013 hingga 2016m, tegas Mukhriz.

“Azrin kerja dengan saya sebagai Pegawai Media antara 2009-2013 sewaktu saya di MITI, dan tidak sewaktu saya MB Kedah,” katanya.

The Malaysian Insight telahpun menghubungi Azrin.

Dalam satu kenyataan terdahulu hari ini, Mukhriz berkata beliau juga tidak tahu menahu mengenai pembabitan firma berkenaan dalam kempen BN semasa pilihan raya umum 2013.

Tegasnya, segala kemenangan yang diraih oleh BN Kedah dalam pilihan raya tersebut adalah atas usaha pasukan parti pimpinannya.

“Saya tak pernah kenal dan tak pernah terlibat pun dengan Cambridge Analytica (CA) ini. Bila berita itu mula dilaporkan, barulah saya dapat tahu mengenai nama syarikat itu dan kononnya dia mengaku yang dia pernah buat kerja untuk BN di Kedah.

“Masa itu saya mengetuai jentera pilihan raya BN Kedah. Masa PRU13 lepas, kemenangan kami adalah (hasil) strategi dan taktik yang kami pakai untuk tewaskan kerajaan PAS ketika itu tapi tak pernah sekali pun kami dihubungi oleh CA ini,” katanya.

Di laman webnya, firma tersebut menyifatkan usahanya di Kedah sebagai “kempen yang berjaya”. 

Menurut firma tersebut, mereka menyokong BN dengan menyalurkan mesej kepada penerima sasaran berhubung penambahbaikan yang dilakukan di sekolah.

Hasil dari kempen tersebut, BN berjaya memenangi semula Kedah dari Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13.

Mukhriz seterusnya dilantik menjadi menteri besar selepas pilihan raya tersebut tetapi kemudiannya dipecat pada 2016 dan kini menjadi timbalan presiden Bersatu. – 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen