Mukhriz kata tak kenal, tak terlibat dengan Cambridge Analytica


Yasmin Ramlan

Mukhriz Mahathir bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa firma tersebut diupah oleh Barisan Nasional (BN) di peringkat tertinggi dalam kempen BN semasa pilihan raya umum 2013. Tegasnya, segala kemenangan yang diraih oleh BN Kedah dalam pilihan raya tersebut adalah atas usaha pasukan parti pimpinannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 20 Mac, 2018.

BEKAS menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak tahu menahu mengenai pembabitan firma penganalisis data Cambridge Analytica dalam kempen Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya umum 2013.

Tegasnya, segala kemenangan yang diraih oleh BN Kedah dalam pilihan raya tersebut adalah atas usaha pasukan parti pimpinannya.

“Saya tak pernah kenal dan tak pernah terlibat pun dengan Cambridge Analytica (CA) ini. Bila berita itu mula dilaporkan, barulah saya dapat tahu mengenai nama syarikat itu dan kononnya dia mengaku yang dia pernah buat kerja untuk BN di Kedah.

“Masa itu saya mengetuai jentera pilihan raya BN Kedah. Masa PRU13 lepas, kemenangan kami adalah (hasil) strategi dan taktik yang kami pakai untuk tewaskan kerajaan PAS ketika itu tapi tak pernah sekali pun kami dihubungi oleh CA ini.

“Jadi dan apa juga yang kami lakukan atas inisiatif sendiri dengan idea di kalangan usaha sendiri tanpa bantuan daripada CA,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau yang mengetuai jentera BN dalam pilihan raya itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa firma tersebut diupah oleh parti tersebut di peringkat tertinggi.

“Kalau ada pun, mungkin syarikat itu jadi perunding di ibu pejabat (BN),” katanya lagi ketika dihubungi The Malaysian Insight hari ini.

Mukhriz juga mengesyaki bahawa firma tersebut mungkin terlibat dalam kempen memburuk-burukkan Pakatan Harapan (PH) pada masa kini.

Jelasnya, ia berdasarkan pemerhatiannya ke atas bahan kempen dalam media sosial yang menakut-nakutnya pengundi untuk menolak DAP

“Situasi sekarang ini (terdapat) video yang memihak kepada Umno-BN, menakut-nakutkan pengundi (bahawa) DAP akan berkuasa jika PH menang.

“(Strategi kempen) ini seolah-olah sama seperti taktik yang digunakan berdasarkan kegiatan CA di Amerika Syarikat,” kata Mukhriz yang menjadi menteri besar Kedah dari 2013 hingga 2016.

Beliau merujuk kepada operasi CA dalam kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2016 yang didakwa melibatkan penyebaran maklumat palsu dan berbaur perkauman kepada pengguna sasaran di media sosial.

“(CA) timbulkan persepsi tidak berasas mengenai pihak yang bertanding bagi pihak yang menggunakan perkhidmatan mereka ini. 

“Sekarang ini bila saya tengok video yang dikeluarkan, yang memihak kepada Umno dan BN, ia seolah-olah menggunakan taktik yang sama,” katanya lagi.

Mukhriz ditanya mengenai penglibatan firma Cambridge Analytica dalam pilihan raya 2013 memandangkan firma itu menyatakan bahawa kempen mereka berjaya sehingga memberi kemenangan kepada BN di negeri Kedah.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula menganggap, dakwaan firma berkenaan dalam pilihan raya di Kedah pada 2013 itu juga mungkin hanya kenyataan “berlagak”

Laporan The Malay Mail Online menyebut, ketua pegawai operasinya, Mazlan Ismail berkata kenyataan itu mungkin dibuat untuk meraih kepercayaan pengguna ke atas firma berkenaan.

“Mungkin untuk mendapat keyakinan ramai, mereka berkata sesuatu… Tetapi tidak apa, kami boleh semak,” katanya seperti dipetik portal tersebut. – 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen