Khidmat CEO Cambridge Analytica digantung


CEO Cambridge Analytica digantung tugas serta merta selepas syarikat itu terlibat dalam skandal memanipulasi data raya pengguna Facebook untuk propaganda kempen pilihan raya di seluruh dunia. – Gambar AFP, 21 Mac, 2018.

CAMBRIDGE Analytica (CA), syarikat Britain yang kini jadi tumpuan kerana terlibat dalam skandal melibatkan data raya Facebook mengumumkan menggantung khidmat ketua pegawai eksekutifnya.

Tindakan menggantung khidmat CEO Alexander Nix dilakukan ketika rakaman dia bercakap tentang penglibatan syarikat itu dalam kempen pilihan raya Donald Trump pada 2016, melakukan semua kajian, analisis serta kempen digital dan televisyen presiden AS itu terbongkar.

Dalam rakaman secara rahsia dilakukan Channel 4 News dari Britain, dia dilihat berlagak mengatakan mampu menjerat mana-mana ahli politik dan menjadi dalang kempen pilihan raya di seluruh dunia menerusi syarikat palsu.

Desakan semakin lantang disuarakan ahli politik di Britain dan Amerika Syarikat yang mahukan jawapan setelah CA dilaporkan menuai data raya 50 juta pengguna Facebook secara sulit.

CA menafikan menggunakan data Facebook untuk kempen Trump, tetapi skandal itu menimbulkan tekanan besar kepada syarikat gergasi teknologi itu yang sudah terheret dalam skandal berita palsu untuk keuntungan semasa kempen presiden AS.

Semalam, Facebook mengatakan eksekutif atasannya sedang “berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan semua maklumat.”

“Syarikat sangat marah yang kami ditipu. Kami sangat komited untuk menguatkuasakan dasar kami bagi melindungi maklumat pengguna dan akan melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi memastikan ia berlaku,” kata Facebook.

Lembaga Pengarah CA mengatakan Nix akan berundur serta merta sementara menunggu siasatan ketika tuduhan demi tuduhan salah laku terhadapnya timbul.

Dalam rakaman Channel 4 itu, Nix memperlekeh wakil AS dalam Jawatankuasa Perisikan Dewan yang ditemuinya tahun lepas, mendakwa wakil rakyat Demokrat didorong oleh “dendam silam” dan Republikan pula tidak banyak bertanya soalan.

“Mereka ahli politik, bukan orang teknikal. Mereka tak faham bagaimana ia berlaku,” katanya dalam rakaman itu.

Dia juga menggariskan penggunaan sistem email binasa sendiri.

“Tiada bukti, tiada jejak dokumen, tiada apa-apa,” katanya mengenai sistem itu yang memadam email dua jam selepas ia dibaca.

Facebook kini berdepan siasatan di kedua-dua negara itu menyebabkan sahamnya jatuh 2.6% selepas jatuh 6.8% Isnin lalu.

Pegawai Kesatuan Eropah menggesa siasatan segera dilakukan, wakil rakyat Britain pula meminta CEO Facebook Mark Zuckerberg menghadap Jawatankuasa Parlimen UK.

Zuckerber juga sebelum ini diminta memberi penjelasan kepada Parlimen Eropah.

Di AS pula, Zuckerberg juga diminta menghadap Kongres bersama-sama ketua pegawai eksekutif Google dan Twitter. – AFP, 21 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen