Diplomat Israel masuk Malaysia tanpa sambutan, kata timbalan menteri


Amin Iskandar

Timbalan Menteri Luar, Reezal Merican Naina Merican berkata diplomat Israel yang memasuki Malaysia sempena World Urban Forum baru-baru ini tidak diberikan sambutan tetamu negara dan kawalan keselamatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2018.

DIPLOMAT Israel yang menyertai World Urban Forum (WUF) di Kuala Lumpur baru-baru ini tidak diberikan sambutan daripada kerajaan Malaysia, kata Timbalan Menteri Luar Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata diplomat Israel itu juga merupakan satu-satunya delegasi WUF yang tidak disambut oleh mana-mana pegawai Kementerian Luar.

“Mahu pun Polis Diraja Malaysia, kita tak beri kawalan keselamatan kepada dia. 

“Kita serahkan kepada UN (Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu) sebab kita tak mengalu-alukan kedatangannya, dia dijemput UN dan disebabkan itu dia dibenarkan masuk,” kata Reezal (BN-Kepala Batas) di Dewan Rakyat hari ini.

Reezal menjawab soalan Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang bertanyakan sama ada Malaysia bercadang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel selepas menerima diplomat negara itu hadir ke forum WUF baru-baru ini.

Kemasukan duta Israel ke Malaysia itu mencetuskan bantahan banyak pihak, malah PAS menuduh Umno “talam dua muka” kerana kejadian itu.

Reezal berkata, membenarkan kemasukan diplomat Israel itu tidak bermakna Malaysia mahu menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara Zionis itu.

Katanya, pendirian Malaysia berhubung kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin masih tidak berubah.

“Kalau pergi ke Turki, di Turki ada kedutaan di Tel Aviv. Israel ada kedutaan di Ankara.

“Tidak semestinya Erdorgan tidak menentang Israel. Dia dianggap sebagai pemimpin yang paling menentang.

“Kalau di Mesir kita lihat bukan sekarang, di zaman Morsi lagi, orang yang dikatakan ada jaringan dengan Muslim Brotherhood, Morsi juga tidak pernah menutup kedutaan yang berada di Tel Aviv mahupun menutup kedutaan Israel di Kaherah,” katanya merujuk kepada Presiden Turki Recep Tayyip Erdorgan dan bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi.

Reezal berkata, hubungan diplomatik Turki dan Mesir dengan Israel lebih teruk berbanding dengan Malaysia yang membenarkan kemasukan diplomat daripada negara itu di atas jemputan PBB.

“Lihat cost of benefit, yang mana lebih menguntungkan? 

“Benda yang kita dapat capai daripada penganjuran WUF, jauh lebih tinggi dan lebih penting dan memberi kesan yang amat-amat baik kepada negara,” katanya. – 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen