NGO kesal Putrajaya benarkan diplomat Israel masuk Malaysia


Malaysia dipilih menjadi tuan rumah World Urban Forum yang berlangsung 7 Februari lalu dan disyaratkan meluluskan visa kepada semua perwakilan. – Gambar EPA, 15 Februari, 2018.

BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan tindakan Putrajaya membenarkan kemasukan beberapa diplomat Israel pada persidangan World Urban Forum (WUF) yang berlangsung dari 7 Februari dan berakhir kelmarin, lapor Sinar Online.

Menurut portal itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Awang Suffian Awang Piut berkata Putrajaya sepatutnya menolak sebarang hubungan dengan Israel dalam apa jua tujuan kerana antara Malaysia dan negara itu sememangnya tidak mempunyai hubungan diplomatik.

“Bagaimana kerajaan Malaysia boleh terima rombongan tersebut pada saat rakyat Malaysia sensitif dengan apa yang dilakukan Israel ke atas Palestin.

“Sepatutnya, mereka datang secara rombongan atau wakil, tidak patut benarkan, baru betul-betul menunjukkan pendirian kita teguh menolak hubungan dengan Israel,” katanya seperti dilaporkan Sinar Online.

Baru-baru ini The Times of Israel melaporkan Kementerian Luar negara itu mengesahkan kunjungan diplomat terbabit ke Kuala Lumpur.

Jurucakap Kementerian Luar Israel Emmanuel Nahshon berkata diplomat negara itu menghadiri satu persidangan WUF yang berlangsung selama seminggu di Kuala Lumpur.

Menurut laporan itu, delegasi dari negara berkenaan diketuai Timbalan Duta Israel ke PBB, David Roet dan mereka menyertai persidangan Program Petempatan Manusia PBB, atau dikenali sebagai UN-Habitat.

Malaysia tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sejak ditubuhkan pada 1948 dan sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Menurut Sinar Online, Ketua Pegawai Eksekutif Al-I’tisam Relief Program Mohd Shah Sapiei pula menyifatkan tindakan membenarkan delegasi Israel masuk ke Malaysia sebagai amat mendukacitakan dan tidak bertanggungjawab.

“Apa yang dilakukan Israel terhadap Palestin adalah zalim, datang pula ke Malaysia, kita terima, Allahuakbar, kenapa benda itu boleh berlaku? Kenapa tiada apa-apa tindakan daripada pihak berwajib,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Beliau berkata,perkara seperti ini langsung tidak dipandang sensitif sedangkan semua pihak maklum dengan pendirian kerajaan terhadap negara itu, lebih-lebih lagi menggunakan pasport diplomatik Israel, dan mengadakan pula pertemuan dengan pegawai Malaysia.

“Amat mendukacitakan dengan membenarkan mereka masuk Malaysia atas apa alasan sekalipun, itu seolah-olah kita mengiktiraf apa yang dilakukan Israel ke atas Palestin,” katanya.

Persidangan WUF dihadiri wakil dari 185 negara, dan dianjurkan Program Penempatan Manusia PBB atau UN-Habitat.

Selaku tuan rumah, Malaysia disyaratkan meluluskan visa kepada semua perwakilan. – 15 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • tak perlu kecoh kenapa delegasi Israel dtg ke Malaysia kerana ia adalah jemputan program PBB. bukan seperti derma dana rm1.2 bilion dari Israel yg diterima oleh DAP. tun M pun tutup mulut psl isu ni bila dah bersahabat dgn DAP skrg

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan