KKM akan bincang dengan Unicef mengenai kajian tumbesaran terbantut 


Amin Iskandar

Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam berkata pihaknya turut mengambil kira cadangan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar untuk melihat secara lebih dalam tentang cadangan-cadangan yang dibuat oleh Unicef.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2018. 

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan mengambil kira laporan Unicef yang membangkitkan kebimbangan terhadap masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur.

Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam berkata, kementeriannya akan memanggil Unicef untuk berbincang mengenai kajian mereka.

“Perkara-perkara yang telah dibangkit berkenaan dengan isu Unicef ini selain daripada apa yang sudah jelaskan, saya ambil kira cadangan Yang Berhormat Lembah Pantai supaya di dalam kita lihat secara lebih dalam tentang cadangan-cadangan yang dibuat oleh Unicef,” kata Subramaniam di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang bertanyakan sama ada Kementerian Kesihatan akan memanggil dan berbincang dengan Unicef berhubung kes tumbesaran terbantut di kalangan golongan miskin bandar.

Laporan Unicef bertajuk “Kanak-Kanak Pinggiran: Kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur” yang diterbitkan pada 26 Februari mendapati kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah mengalami masalah kekurangan zat, pendidikan, keselamatan dan lain-lain.

Kajian itu dijalankan bagi mengukur keberkesanan program yang dijalankan kerajaan untuk golongan miskin bandar.

Ia mendapati 34% kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Kelantan mengalami tumbesaran terbantut, diikuti Terengganu dan Pahang (26%) dan Putrajaya, Perak, Sabah serta Labuan (24%).

Sementara peratusan tumbesaran terbantut di Sarawak pula dicatatkan berjumlah 23%, diikuti Perlis 21%, Pulau Pinang 20%, N. Sembilan 19%, Kedah 18%, Melaka 14%, Johor 12% and Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 11%.

Laporan tersebut, yang membandingkan negara-negara yang mempunyai KDNK per kapita sama seperti Malaysia, menyatakan bahawa masalah tumbesaran terbantut di Malaysia adalah lebih teruk berbanding Ghana, meskipun KDNK per kapita Malaysia enam kali ganda lebih tinggi, iaitu 21% daripada negara tersebut.

Minggu lalu Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid memandang remeh laporan Unicef itu.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat sewaktu sesi soal jawab bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai program seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di kawasan luar bandar mahupun bandar. – 19 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen