Menteri pendidikan pandang remeh laporan kanak-kanak kurang zat


Melati A. Jalil

Mahdzir Khalid memberitahu Dewan Rakyat sewaktu sesi soal jawab bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai program seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di kawasan luar bandar mahupun bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2018.

MENTERI Pendidikan Mahdzir Khalid memandang remeh laporan Unicef yang membangkitkan kebimbangan terhadap masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat sewaktu sesi soal jawab bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai program seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di kawasan luar bandar mahupun bandar.

“Saya tidak tahu bagaimana laporan Unicef itu dibuat dan bagaimana ia boleh membandingkan (kita) dengan Ghana.

“Kita ada kajian, setakat ini tiada sekolah yang menunjukkan ada budak tak mampu. Tak ada lagi laporan dari guru budak tak makan di sekolah sebenarnya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai). 

Laporan bertajuk “Kanak-Kanak Pinggiran: kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur” yang diterbitkan pada 26 Februari mendapati kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah mengalami masalah kekurangan zat, pendidikan, keselamatan dan lain-lain.

Kajian itu dijalankan bagi mengukur keberkesanan program yang dijalankan kerajaan untuk golongan miskin bandar.

Ia mendapati 34% kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Kelantan mengalami tumbesaran terbantut, diikuti Terengganu dan Pahang (26%) dan Putrajaya, Perak, Sabah serta Labuan (24%).

Sementara peratusan tumbesaran terbantut di Sarawak pula dicatatkan berjumlah 23%, diikuti Perlis 21%, Pulau Pinang 20%, N. Sembilan 19%, Kedah 18%, Melaka 14%, Johor 12% and Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 11%.

Laporan tersebut, yang membandingkan negara-negara yang mempunyai KDNK per kapita sama seperti Malaysia, menyatakan bahawa masalah tumbesaran terbantut di Malaysia adalah lebih teruk berbanding Ghana, meskipun KDNK per kapita Malaysia enam kali ganda lebih tinggi, iaitu 21% daripada negara tersebut.

Nurul Izzah bertanya jika kementerian akan menjalankan kajian bagi menangani masalah yang diketengahkan dalam laporan tersebut.

Terdahulu Mahdzir berkata kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM250 juta bagi program RMT tahun ini, yang meliputi 190 hari persekolahan.

Beliau berkata daripada lebih dua juta murid sekolah rendah, 458,483 pelajar terlibat dalam program tersebut.

“Program ini juga meliputi kira-kira 40,948 SRJK(C) dan 20,620 SRJK(T),” kata Mahdzir. Tambah beliau lagi, program makanan tersebut memberi manfaat kepada kira-kira 2.6 juta murid sejak 2014.  – 13 Mac, 2018.

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Itu kan masalah dan kerja..pemi.oin.umno hanya mahukan.peruntukan dan seboleh bokehnya menghindarkan.masalah yang timbul

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan