Perebutan kuasa PBM dibawa ke mahkamah 


PEREBUTAN kuasa kepimpinan dalam Parti Bangsa Malaysia dijangka akan dibawa ke mahkamah dengan Zuraida Kamaruddin mencabar Larry Sng untuk jawatan tertinggi.

Menurut laporan Malaysiakini, Zuraida memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.

Zuraida dan 10 yang lain dipecat daripada PBM Disember lalu, dengan Sng mengambil alih kepimpinan parti sekali lagi selepas Zuraida mendakwa dirinya sebagai presiden baharu berdasarkan keputusan kongres tahunan dan kepimpinan parti.

Perebutan kepimpinan ini bermula sejurus sebelum pilihan raya umum ke-15 pada bulan November, dan perdamaian dipersetujui untuk menghadapi PRU15.

Menurut dokumen mahkamah, Zuraida memohon beberapa pengisytiharan, antaranya keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengekalkan Sng sebagai presiden parti adalah tidak sah dan tidak munasabah.

Beliau juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ROS mendaftar dan mengiktirafnya sebagai presiden PBM, berkuat kuasa mulai 7 Oktober tahun lepas.

Menerusi afidavit sokongannya bertarikh 22 Mac, Zuraida berhujah bahawa Sng membuat kenyataan, semasa perhimpunan agung parti pada 1 Oktober tahun lepas, beliau bersetuju bahawa akan ada peralihan untuk melantiknya sebagai presiden parti.

Beliau mendakwa ini berikutan PBM memerlukan tokoh politik utama untuk membawa perubahan positif dalam parti.

Bekas ahli Parlimen Ampang itu mendakwa beliau menerima surat daripada PBM bertarikh 15 Oktoner tahun lepas di mana parti itu memaklumkan ROS mengenai pelantikannya sebagai presiden parti.

Bagaimanapun dalam surat daripada PBM pada 19 Disember tahun lepas, yang mana Sng “mengisytiharkan diri” dirinya sebagai presiden parti dan menggantung keahlian partinya serta mengarahkannya untuk menunjukkan sebab dalam tempoh tujuh hari.

Pemohon mendakwa dakwaan itu adalah kerana mempersoalkan jawatan presiden parti Ahli Parlimen Julau itu dan mengelirukan ahli parti lain dengan meminta mereka memberikan kenyataan bersama bahawa beliau adalah presiden parti.

Zuraida berkata tindakan Sng adalah tidak sah kerana peruntukan yang digunakan untuk menggantung keahliannya adalah kuasa yang hanya mampu dimiliki oleh presiden parti dan Sng bukan lagi presiden parti.

Beliau mendakwa surat itu tidak dijawab kerana tidak menganggap tindakan Sng sebagai sah di bawah perlembagaan parti.

Zuraida juga berkata beliau hanya tahu dirinya dipecat daripada parti menerusi laporan media. 

Peguamnya Mohamed Ashmeer Ashrof dilaporkan oleh Malaysiakini sebagai berkata permohonan kebenaran semakan kehakiman akan dikemukakan untuk dibicarakan di hadapan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur esok. – 11 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen