PARTI Bangsa Malaysia (PBM) Negeri Sembilan mengumumkan pembubaran dan peletakan jawatan semua ahli jawatankuasa negeri, bahagian, sayap pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden PBM Larry Sng.
Pengerusinya Rosman Jonet dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat khas jawatankuasa majlis pimpinan negeri, Negeri Sembilan di Laman Permai Juasseh, Kuala Pilah pada 20 Januari lalu.
Beliau berkata pembubaran itu membabitkan jawatankuasa bahagian Port Dickson, Jempol, Tampin, Rasah, Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah.
“Secara konsensus dan permuafakatan, barisan kepimpinan bersetuju meletakkan jawatan serta membubarkan keseluruhan ahli jawatankuasa negeri dan bahagian PBM berkuat kuasa serta-merta,” katanya. – Bernama, 24 Januari, 2023.
Komen