Larry Sng gantung Zuraida, 12 ahli Majlis Tertinggi PBM


Larry Sng, yang mendakwa masih presiden PBM yang sah, menggantung keahlian Zuraida Kamaruddin dan 12 ahli Majlis Tertinggi parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2022.

LARRY Sng Wei Shien, yang mendakwa masih presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah, menggantung Zuraida Kamaruddin sebagai ahli parti itu.

Dalam kenyataan di akaun Facebooknya malam tadi, Sng turut menggantung 12 ahli Majlis Tertinggi PBM.

Beliau berkata penggantungan itu berdasarkan Perlembagaan PBM Fasal 60 (iii) yang dilakukan kerana penglibatan berterusan mereka yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.

Dua belas individu itu ialah Haniza Mohamad Talha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Chua Lian Chye, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

“Saya menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan politik sedemikian yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menimbulkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan orang awam keseluruhannya.

“Oleh itu jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya,” menurut hantaran itu.

Sng berkata surat penggantungan itu telah dihantar kepada mereka secara individu.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat Majlis Tertinggi akan diadakan esok (30 Oktober) di Sarikei, Sarawak memandangkan perkara itu adalah mendesak, untuk membincangkan dan menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

“Saya akan melaksanakan peruntukan Fasal 21 (ii) perlembagaan parti untuk membolehkan mesyuarat diadakan kurang daripada notis tujuh hari seperti yang diperuntukkan. Mereka yang digantung tidak akan dijemput menghadiri mesyuarat ini,” katanya. – Bernama, 29 Oktober, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen