Haniza gesa RoS siasat keabsahan Sng sebagai presiden PBM


Ahli Parlimen Lembah Jaya Haniza Talha mendakwa Presiden PBM Larry Sng menggunakan jawatan beliau untuk kepentingan diri sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2022.

HANIZA Talha menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menyiasat status Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng, selepas parti itu memutuskan jawatan tersebut diambil alih oleh Zuraida Kamaruddin.

Haniza Talha, timbalan presiden PBM yang digantung tugas hujung Oktober lalu, berkata Sng membelakangi perjanjian dan mandat yang diputuskan oleh ahli-ahli PBM dalam Persidangan Agung Tahunan (PAT) pada Oktober lalu, yang bersetuju jawatan presiden diserahkan kepada Zuraida Kamaruddin.

Tindakan Sng itu tambahnya, menyebabkan PBM dalam keadaan terumbang ambing serta mencetus kekeliruan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti.

“Kegagalan YB Datuk Larry Sng dalam mentadbir dan menguruskan parti juga jelas terserlah apabila beliau dengan semberono telah menggunakan jawatan beliau untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kesan terhadap ahli-ahli PBM di seluruh negara. 

“Sebelum PRU15, presiden telah menggunakan surat watikah pelantikan calon untuk mengugut kepimpinan PBM agar kami menuruti kehendak beliau. 

“Selepas PRU15 berakhir, beliau menggunakan PBM untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti lain tanpa berbincang dahulu dengan mana-mana pemimpin atau ahli parti. 

“Sifat tidak matang beliau juga dipertontonkan kepada umum melalui hantaran Facebook, apabila beliau ‘merajuk’ kerana nama beliau tidak tersenarai di dalam barisan Kabinet yang diumukan oleh YAB perdana menteri baru-baru ini,” kata Haniza dalam kenyataan hari ini.

Adun Lembah Jaya itu mendakwa Sng menggunakan PBM sebagai batu loncatan untuk mendapatkan pengaruh dan jawatan di peringkat nasional.

PBM hanya menang satu kerusi dalam Parlimen Julai pada Pilihan Raya Umum ke-14(PRU15) bulan lepas, iaitu kerusi Parlimen Julau yang disandang Sng sejak 2018.

Nasib 12 ahli Majlis Tertinggi (MT) PBM termasuk Zuraida dan Haniza yang digantung keahlian mereka pada 28 Oktober lalu akan ditentukan hari ini.

Kelmarin, Larry dilaporkan berkata surat tunjuk sebab sudah dihantar selepas Zuraida dan beberapa pemimpin tidak hadir mesyuarat MT minggu lalu, dan diberi tempoh sehingga hari ini untuk menjawab surat tersebut. 

Zuraida dan beberapa pemimpin akan dipecat serta-merta jika gagal berbuat demikian, katanya.

Semalam, Zuraida menyelar Sng kerana bersikap tidak matang, angkuh dan gagal berfikir secara rasional dalam menguruskan parti. – 26 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen