ISU pentadbiran PBM mengenai siapa sebenarnya presiden parti selesai setakat ini, dengan Larry Sng dipersetujui akan menandatangani watikah calon Pilihan Raya Umum ke-15, kata jabatan penerangan dan komunikasi parti.
Isu itu selesai selepas Sng dan penggantinya Zuraida Kamaruddin menyelesaikan kekusutan itu dengan Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya, pagi ini.
Dengan itu, fokus PBM sekarang ialah untuk menghadapi pilihan raya umum, dengan senarai calon parti akan diumumkan dalam masa terdekat.
“... Datuk Larry Sng akan menandatangani watikah calon-calon yang bertanding.
“Hal-hal lain berkaitan pentadbiran parti akan dibincang dan diselesaikan selepas PRU15,” kata kenyataan itu.
Sng sebelum ini menegaskan secara terbuka beliau masih presiden PBM yang sah dan belum menyerahkan jawatan itu kepada Zuraida yang dipersetujui sebagai bakal presiden parti.
Sng minggu lalu menggantung jawatan dua pimpinan parti yang dekat dengan Zuraida sebelum kemudiannya menggantung pula keahlian Zuraida dan 12 yang lain.
Beliau menegaskan tiada orang lain boleh mengeluarkan watikah kepada calon pilihan raya bagi PBM selain dirinya sendiri.
Pendaftar Pertubuhan minggu lalu juga kemudian mengesahkan Sng presiden PBM mengikut rekod yang ada.
PBM ditubuhkan oleh bekas ahli PKR yang bersama Zuraida. Mereka keluar parti atau dipecat susulan terlibat dengan percaturan politik Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.
Parti itu ditubuhkan dengan mengambil alih Parti Pekerja Sarawak yang didaftarkan oleh Sng pada 2012.
Sng dijangka bertanding di Julau, mempertahankan kerusi yang dimenangi sebagai calon bebas pada 2018. Beliau selepas itu masuk PKR dan kemudian keluar PKR pada awal 2021.
Zuraida sebelum ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang.– 2 November, 2022.
Komen